Nasional

Kedah akan haram kedai nombor ekor

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) Kedah tidak akan memperbaharui lesen peniagaan kedai yang menjual nombor ekor dan akan melarang semua kedai tersebut beroperasi.

Langkah ini diambil bertujuan untuk menjadikan Kedah bebas daripada aktiviti perjudian, lapor FMT.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain mengakibatkan masalah hutang.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

“Saya Islam tidak boleh main judi. Nanti dekat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ini anda buat apa? Kalau saya cakap saya tidak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, lebih baik saya gunakan,” katanya.


Sanusi berkata, premis perjudian tidak memberi banyak manfaat kepada orang ramai melainkan pemilik premis sahaja yang dapat untung.

Beliau juga berharap semua pihak termasuk penduduk Kedah memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian dengan seadil-adilnya kerana bukan sahaja orang bukan Islam yang terlibat dalam perjudian tersebut.

Selain itu, Sanusi berkata, penjualan minuman keras di semua premis terumatanya di kawasan luar bandar yang tiada permintaan akan dihadkan.

“Kita juga telah berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak mempunyai lesen, tidak lagi menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras,” katanya. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button