Nasional

Program bantuan ganti keluar KWSP diumum dalam Belanjawan 2023

KERAJAAN akan mewujudkan program atau skim bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat gugatan ekonomi pasca pandemik Covid 19 yang mahu mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi  menampung kehidupan keluarga, kata Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

Katanya, ia akan diperkenalkan program menggalakkan golongan terkesan itu untuk menambah pendapatan mereka dan akan diumumkan dalam Belanjawan 2023.

“Ada beberapa perkara yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Kita tunggu pengumuman bajet. Ini termasuk contohnya membuka peluang kepada B40 ke bawah menjana pendapatan tambahan.

“Dalam masa sama, harapan kita melalui kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke 12, kita melihat kepada dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji. Tidak boleh letak kepada kos sara hidup semata, tetapi pastikan kenaikan gaji dan hal itu tidak diserah semata mata kepada kepada pasaran (menentukan). Ini adalah perkara jangka sederhana dan panjang.

“Kalau kita berjaya memastikan program subsidi disasarkan kepada kumpulan benar benar memerlukan maka kesan kenaikan kos sara hidup akan ditangani dengan lebih baik. Ini sekumpulan dasar yang perlu dilakukan sekali gus,” katanya dalam sidang media selepas Dialog Strategik Bersama Yang Berhormat Menteri Ekonomi: “Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat” di Malaysia International Trade and Exhibition Centre, tengah hari tadi.

Menurut Rafizi, kerajaan amat tidak menggalakkan pengeluran KWSP kerana Malaysia menuju ke arah negara menua dengan bertambahnya golongan pesara berbanding remaja.

Katanya, kehidupan waktu tua pada waktu akan datang memerlukan kewangan yang lebih banyak berbanding sekarang dan seharusnya rakyat mempunyai simpanan.

“Kita perlu berhati hati mengeluaran KWSP biar pun buat masa sekarang diperlukan, tetapi kos yang mereka bayar itu tinggi,” katanya. –SM

(Visited 571 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button