NasionalNegeri

Kecemerlangan kaum wanita kini meliputi pelbagai bidang profesional

RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah,  kecemerlangan seseorang wanita tidak terbatas dengan aktiviti domestik sahaja tetapi melangkau batasan disiplin akademik sehingga berupaya melahirkan golongan profesional yang menjadi pemimpin, penyelidik, usahawan, pembuat dasar serta individu berketerampilan unggul.

Baginda bertitah, masyarakat kini lebih cakna dengan isu-isu yang menyentuh peranan wanita dalam membentuk negara yang maju.

“Sumbangan wanita dalam pelbagai bidang haruslah diberi perhatian dan galakan supaya mereka terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang sejahtera, harmoni dan berdaulat,” kata Baginda.

Raja Puan Muda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – ’Women In Search of Excellence Siri Ke-12’ bertajuk ‘Women As Frontiers of Society” anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama YTF, tengah hari ini.

Dalam titah Raja Puan Muda berharap para wanita di Malaysia terus dikurniakan keazaman yang  jitu untuk melaksanakan peranan sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf dan kualiti hidup masyarakat menerusi penglibatan dan sumbangan dalam pelbagai bidang dan ruang kehidupan.

Titah Baginda, bak kata pepatah sesungguhnya tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia”.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen bertitah, wanita adalah tonggak kepada kemandirian pembangunan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Webinar tersebut disempurnakan perasmian pembukaan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Terdahulu Pengerusi Webinar, Prof. Madya Dr. Saidatulakmal Mohd dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menyampaikan ucapan aluan.

Ucap tama bertajuk ‘Peranan Wanita dalam Masyarakat disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof.  Dr. Azlinda Azman yang disusuli dengan forum bertopik ‘Wanita Perkasa Era Digital’ dikongsikan oleh ahli panel terdiri dari Prof Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, FASC., Prof Emerita Datuk Dr. Rashidah Shuib dan Ong Bee Leng, FASC..

Turut diadakan persembahan Gamelan oleh Dewan Budaya USM dan tayangan Kompilasi Pencapaian dan Sumbangan Penyelidik Wanita di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan selain tayangan video khas ‘Woman As Frontiers of Society’. – SM

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button