Nasional

Kebolehjangkitan COVID-19 warga tahfiz sekitar 4.1 peratus

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga tahfiz adalah sekitar 4.1 peratus.

Hasil saringan dan ujian pengesanan COVID-19 yang melibatkan 17,477 sampel di 429 pusat tahfiz di seluruh negara setakat ini mendapati hanya 718 kes positif, kata Dr. Noor Hisham.

Mengulangi nasihat agar masyarakat tidak memberikan stigma negatif berhubung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar tahfiz, beliau berkata, sekolah tahfiz atau pelajar tahfiz adalah satu daripada kumpulan sasaran yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita kenal pasti saringan kita membawa kepada 4.1 peratus kadar jangkitan. Yang pasti, kita bukan nak stigmakan mereka, tetapi kita nak pastikan mereka tiada virus itu. Ini kerana 120 pusat sekolah tahfiz telah dikunjungi oleh jemaah tabligh (kluster Sri Petaling),” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan COVID-19 hari ini.

Kluster Sri Petaling yang terdiri daripada jemaah tabligh dan telah mencetuskan gelombang kedua COVID-19 negara adalah kluster yang terbesar memandangkan ia telah menjangkiti lima generasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham menafikan maklumat yang tular dalam laman Facebook mengenai seorang kanak-kanak dari Kampung Huma, Alor Setar, Kedah didakwa positif COVID-19 selepas dijangkiti oleh saudaranya yang pulang ke kampung dari Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu menyangkal dakwaan: “Apa yang dimuat naik di Facebook itu adalah tidak benar. Kita tidak menerima laporan itu.”

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini menerusi laman Facebook rasminya turut mengeluarkan kenyataan menafikan maklumat tular itu.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai keselamatan makanan, Dr Noor Hisham berkata, tidak terdapat laporan bahawa COVID-19 boleh disebarkan menerusi pengambilan makanan.

“Setakad ini, tidak ada isu berkaitan ikan kerana apabila kita masak makanan, kita tidak gusar dengan jangkitan virus itu kerana apabila kita memasak haba panas itu sendiri akan membunuh virus berkenaan.

“Saya rasa tidak terdapat laporan berhubung jangkitan menerusi pengambilan makanan, yang lebih penting ialah kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan terus mengekalkan kebersihan diri,” katanya.- BERNAMA

(Visited 54 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button