Nasional

Ada kacang hantu di JPN, Imigresen – Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pernah menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini tidak menafikan wujudnya ‘kacang hantu’ dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen (Imigresen) yang mencemarkan nama baik jabatan berkenaan.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini pada Selasa, Ahmad Zahid berkata, ‘kacang hantu’ itu perlu dibanteras kerana tindakan kumpulan berkenaan menyebabkan jabatan itu menerima tuduhan yang tidak benar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, adalah tidak wajar dan adil untuk melakukan tuduhan secara rambang terhadap kedua-dua jabatan tersebut tanpa siasatan terperinci.

“Saya pernah berada di kementerian itu dan dua jabatan ini banyak mendapat tuduhan rambang, jadi untuk mengelakkan perkara tersebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil langkah supaya siasatan dijalankan,” katanya.

“Cukup adil jika siasatan dapat dilakukan untuk melakukan pencerahan. Jika ia benar mesti diperbaiki, jika ia tidak benar mesti dilakukan pencerahan,” katanya lagi.

Namun, kata Ahmad Zahid yang penting sekarang adalah keberkesanan langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan kewujudan ‘kacang hantu’ itu daripada menjadi berleluasa.

Anwar semalam dilaporkan berkata, Imigresen dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa. – Bernama

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button