KebakaranNasional

Kebakaran kedua Wisma Jakel: Bomba fokus unsur sabotaj

PERBUATAN bakar dan sisa bara api menjadi antara fokus utama siasatan Bomba Selangor susulan kebakaran terbaharu bilik simpanan kain langsir Wisma Jakel, Seksyen 7, Shah Alam, pada awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, siasatan akan memberi tumpuan kepada semua aspek  dan akan dikaji secara mendalam agar maklumat menyeluruh dapat diperoleh.

“Punca bara di bawah kain… itu kami masih siasat dan mengambil aspek yang perlu kami analisis. “Mungkin bara-bara yang tertinggal atau ada sesiapa yang naik melakukan pembakaran.

“Aspek-aspek lain juga akan dilihat dan dikaji secara mendalam. Setakat ini belum ada lagi satu kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kebakaran kedua ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Norazam berkata, pihaknya memerlukan tempoh 14 hari bagi menjalankan siasatan dan analisis awal termasuk mendapatkan saksi.

Tambah beliau, pihaknya turut menggerakkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) membabitkan dua ekor anjing jantan dari baka English Springer Spaniel untuk mengesan apa-apa bahan yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Sampel dan sebagainya kami akan hantar ke makmal penyiasatan di Bukit Jelutong untuk dianalisis.

“Selain itu, aspek pendawaian dan peralatan elektrik yang digunakan oleh bangunan Wisma Jakel juga akan turut dianalisis,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya hari ini mula membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH) dengan menempatkan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya kebakaran berulang.

Beliau turut memaklumkan bahawa orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian kecuali dengan pengawasan dan diiringi pihak berkuasa.

Wisma Jakel di Seksyen 7 hari ini mengalami kebakaran kali kedua apabila bilik simpanan kain langsirnya terbakar tengah malam tadi. Bomba berjaya memadamkan api keseluruhannya pada pukul 3.07 pagi.

Sebelum ini, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Januari 2023, baru-baru ini. – FMT – SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button