Nasional

Kebakaran: Bomba Perlis siap siaga musim Timur

BOMBA Perlis bersiap sedia dengan 180 anggota dan pegawainya bagi menghadapi kes kebakaran ekoran trend cuaca musim Timur sedang berlaku di negeri ini.

Pengarahnya, Ruhisha Haris berkata, tambahan pula tiada hujan di negeri ini sejak dua minggu.

“Kebakaran ini biasanya akan melibatkan kawasan hutan, lalang, tempat pembakaran sampah, belukar dan bukit,” katanya pada sidang media selepas majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis 2022.

Juga diadakan Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan dan Ops Ronda Raya Sempena Tahun Baharu Cina di
Dataran Ibu Pejabat JBPM Perlis di Persiaran Tuanku Syed Putra di Kangar hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bomba Perlis, M. Fatta M. Amin.

Pada majlis berkenaan juga disampaikan sijil penghargaan kepada agensi media di Perlis.

Ruhisha berkata, satu lagi cabaran yang bakal dihadapi pihaknya apabila pesawah mula membakar jerami pada pertengahan Mac ini.

“Kita telah membuat persediaan dengan lapan buah jentera dan tujuh kenderaan utiliti untuk memastikan setiap operasi berjalan lancar,” katanya.

Beliau menambah, kenderaan utiliti ini bagi membantu kes kebakaran yang menyukarkan jentera berat untuk masuk.

Bagi mengelak dari berlaku kebakaran, katanya, petani dinasihatkan melakukan pembakaran di waktu malam yang kurang berangin.

Katanya, sebaiknya kumpul jerami dalam petak masing-masing bagi kemudahan mengawal kebakaran. – SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button