
Keanggunan tropika, 100 koleksi kaftan eksklusif butang emas
PEREKA fesyen terkenal, Datuk Anas Abdullah, bersama jenama Butang Emas, baru-baru ini melancarkan satu kerjasama ikonik yang mencipta sejarah dalam industri fesyen Malaysia.
Kerjasama ini memperkenalkan 100 koleksi eksklusif kaftan mewah, hasil gabungan reka bentuk moden dan elemen budaya tempatan yang anggun serta sofistikated.
Projek istimewa ini direalisasikan dengan sokongan Qyriz, peneraju industri pembuatan yang komited dalam mengangkat seni dan kualiti buatan tempatan ke tahap antarabangsa.
Menurut Datuk Anas Abdullah, kerjasama ini bertujuan membawa kebanggaan kepada Malaysia dengan mempamerkan kreativiti, kehalusan seni, dan kecanggihan dalam industri fesyen negara.
Koleksi Eksklusif dengan Inspirasi Tropika
Koleksi kaftan ini menampilkan 100 rekaan unik yang diperbuat daripada material berkualiti tinggi, termasuk sutera hijab dan diamond silk organza. Kain diamond silk organza, terkenal dengan teksturnya yang reflektif dan elegan, dipilih untuk memberikan keselesaan optimum dan kilauan mewah pada setiap rekaan.
Rekaan koleksi ini diinspirasikan daripada elemen tropika Malaysia seperti durian, manggis, dan rama-rama. Motif durian dan manggis melambangkan kitaran kehidupan, manakala rama-rama yang berwarna-warni menjadi ilham kepada palet warna seperti emas, biru firus, dan hijau zamrud. Elemen batik moden turut disertakan bagi menyatukan tradisi dan gaya kontemporari, menjadikan koleksi ini sesuai untuk wanita moden yang menghargai estetika budaya.
Harga kaftan bermula dari RM399 hingga RM999, bergantung pada reka bentuk dan hiasan.
Koleksi ini dilancarkan secara eksklusif dalam acara The Iconic Transformation boleh didapati melalui laman web rasmi serta pop-up stores di lokasi terpilih. Kejayaan projek ini turut mencipta sejarah apabila ia disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai 100 Koleksi Kaftan Mewah Dilancarkan oleh Jenama Tempatan.
Menurut Datuk Anas Abdullah, perjalanan menghasilkan koleksi ini tidak mudah. Ia melibatkan pemilihan material terbaik dan koordinasi pelbagai pihak. Namun, dengan komitmen tinggi dan sokongan padu, kejayaan ini menjadi satu pencapaian penting dalam industri fesyen Malaysia.
Supermodel Aleeza Kasim Sebagai Ikon Kempen
Supermodel ikonik Aleeza Kasim, yang dikenali dengan pengalamannya di pentas fesyen antarabangsa, dipilih sebagai wajah utama kempen koleksi ini. Aleeza, yang turut mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai Model Malaysia Pertama Menyarung 100 Pakaian Dalam 2 Hariân membawa aura eksklusif yang selari dengan keanggunan koleksi kaftan ini.
Datuk Anas Abdullah berharap kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan pengiktirafan terhadap jenama Butang Emas dan dirinya, tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat fesyen serantau. Dalam perancangan jangka pendek, mereka merancang memperkenalkan koleksi ini ke pasaran Brunei, atas permintaan tinggi daripada pelanggan di sana.
Kerjasama ini membuktikan bahawa fesyen tempatan mampu bersaing di peringkat global sambil mengekalkan identiti budaya yang unik.