Politik

Keahlian Salleh: In shaa Allah, no body perfected!, kata Bung Moktar

HARAPAN dan peluang untuk bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyertai semula UMNO kelihatan cerah.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam ciapannya sebentar tadi memberi bayangan kemungkinan akan menerima semula Salleh ke dalam parti tersebut selepas beliau bertindak meninggalkannya.

“In shaa Allah, no body perfected!” kata Bung Moktar di Twitternya. Dalam ciapan itu Bung Moktar turut berkongsi Twitter pengguna lain yang melontarkan pandangan terhadap keinginan Salleh untuk menyertai semula UMNO.

“Masa susah dia lari. N bola sebelah sana susah, dia kata kilaf.. Bagi saya terima la, tapi sebagai ahli je. Kesian pelapis muda yang berkaliber… Bung jugak steady.,” kata Campaiyon.

Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan beliau telah memohon untuk menyertai semula UMNO.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan beliau keluar daripada UMNO adalah satu kesilapan.

“Saya membuat keputusan tersebut setelah merenung kembali keputusan yang saya ambil termasuklah keluar daripada UMNO secara ‘en-block’ pada 12 Disember 2018 yang mana kini saya anggap sebagai satu kekhilafan.

“Kini saya menyerahkan kepada UMNO khususnya YB Presiden, Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Sabah yang diketuai oleh YB Dato’ Sri Bung Moktar Radin untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Saya berhasrat untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga saya bersama UMNO dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta,” kata Salleh dalam blognya hari ini.

Menurut Saleh beliau telah memohon untuk kembali bersama UMNO pada 26 Mei lalu melalui Ketua UMNO Sabah.

Salleh sebelum itu memaklumkan beliau membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lepas iaitu hampir setahun selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah keluar meninggalkan parti.

Beliau memohon menyertai PKR pada tahun lepas kerana ketika itu PKR adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, dan menurutnya, Sabah harus membina hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun serta berdaya saing.

“Saya memilihnya (pada waktu itu) demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan kerajaan Persekutuan,” katanya.-SM

 

Tags
Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button
Close
Close