Kemalangan

‘Keadaan sangat menyedihkan, ada yang ajar mengucap walaupun tahu rakannya itu sudah meninggal dunia…’ – Saksi

KOTA BHARU: “Keadaan di lokasi sangat tragis dan menyedihkan, ada yang menangis, meraung meminta tolong, ada yang mengajar rakan mengucap walaupun tahu rakannya sudah meninggal dunia.”

Itu situasi yang berlaku di lokasi kemalangan Lebuhraya Gerik-Jeli, berdekatan Tasik Banding, Perak yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada jam 1 pagi tadi yang disaksikan Razali, 45.

Razali yang tinggal di Jeli bergegas ke lokasi kejadian sebaik mengetahui kemalangan yang berlaku kerana pada awalnya menyangka lokasi kejadian dalam kawasan Kelantan.

“Saya tiba di lokasi sekitar jam 1.50 pagi dan ketika itu anggota bomba dan ambulans sudah sampai. Keadaan sangat menyedihkan melihat kejadian di depan mata.

“Ada yang tersepit, ada yang menangis meminta tolong kerana sakit, ada yang tidak putus asa mengajar rakan mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka tahu rakannya sudah meninggal dunia.

“Mereka yang sudah dikenal pasti meninggal dunia disusun, manakala pasukan perubatan berusaha memberi bantuan kepada mangsa yang cedera,” katanya.

Razali berkata, ada mangsa yang tersepit sehingga anggota bomba terpaksa memotong bas untuk mengeluarkan mangsa.

“Saya turut membantu apa yang patut dan pulang semula ke Jeli sekitar jam 3 pagi,” katanya.

Seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button