
Keadaan Menteri Agama semakin baik
PUTRAJAYA – Keadaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Putrajaya selepas dipercayai mengalami keracunan makanan Isnin lalu, bertambah baik.
Perkara itu disahkan sumber terdekat kepada Suara Merdeka.
Ujarnya, Mohd Na’im yang dimasukkan ke hospital pada Selasa berada dalam keadaan stabil dan diletakkan di ICU untuk pemantauan.
Kata beliau, Mohd Na’im mula mengalami gejala keracunan makanan pada Isnin lalu dan mendapatkan rawatan awal di sebuah Hospital Kuala Lumpur dan dibenarkan pulang.
“Bagaimanapun keadaan beliau bertambah buruk pada Selasa sebelum menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan kini dirawat di wad biasa.
“Setakat ini beliau dalam keadaan baik, tetapi doktor masih memantau keadaan beliau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim yang berpeluang menziarahi Mohd Na’im Isnin lalu turut mendoakan kesembuhan terhadap beliau.
Menerusi hantaran di laman sosial, Irmohizam menyifatkan Mohd Naim sebagai seorang yang menjadi teladan dalam memperkukuh nilai-nilai Islam dan menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Di saat ini, saya bersama ramai lagi mendoakan agar YB Senator dikurniakan kesembuhan yang segera dan sempurna, serta diberi kekuatan untuk kembali menjalankan amanah dengan penuh semangat dan ketenangan.
Doa dan ingatan kami sentiasa mengiringi YB Senator. Semoga terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini,” katanya.