Nasional

Pulau Pinang tiada perarakan pedati Thaipusam

Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) tetap berpegang pada keputusannya untuk tidak membenarkan sebarang perarakan pedati semasa sambutan Thaipusam sekalipun menerima desakan daripada sesetengah pihak.

Pengerusi PHEB P Ramasamy berkata keputusan itu dibuat secara kolektif pada mesyuarat yang turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan negeri dan wakil daripada Kuil Nattukotai Chettiar sebelum ini.

“Kami tidak mahu membatalkannya, namun keutamaan kami ialah kesihatan awam. Kita harus tegas dalam menangani pandemik ini kerana Covid-19 merupakan isu nyawa manusia.

“Pandemik ini menyebabkan banyak perniagaan ditutup dan rakyat kehilangan pekerjaan. Kita perlu landaikan lekuk. Penganjuran sambutan ketika pandemik ini merupakan satu tindakan mementingkan diri,” katanya pada sidang media, di George Town hari ini.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata isu itu timbul semula selepas MKN memberi kebenaran kepada pergerakan pedati ke Batu Caves di Selangor, menyebabkan ada desakan agar perkara sama dibenarkan di kuil lain termasuk Kuil Nattukotai Chettiar di George Town.

Beliau berkata kuil itu telah mengutus surat merayu kerajaan negeri dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow agar membenarkan pergerakan pedati perak semasa sambutan Thaipusam, dan perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju untuk membenarkan mereka berbuat demikian, kerana jika kita benarkan pedati perak, maka pedati emas juga mahu dibenarkan dan mereka di Perak, Kedah, Johor serta kuil lain di Selangor mungkin akan turut menuntut perkara sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata upacara keagamaan bersempena Thaipusam di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani akan disiarkan secara langsung menerusi Astro, Facebook dan YouTube bagi membolehkan penganut menyertai upacara tersebut di rumah masing-masing.

Sebelum ini dilaporkan MKN membenarkan pergerakan pedati membawa arca Dewa Murugan ke Batu Caves dengan syarat yang ketat serta tanpa sebarang perarakan sebagaimana kelaziman sambutan Thaipusam sebelum ini.- Bernama

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button