Ekonomi

KDNK suku keempat berkembang 3.6% -Annuar Musa

BANK Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan (DOSM) mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2021 (S4 2021) dan keseluruhan tahun 2021 petang tadi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam catatan di Facebooknya berkata, bagi suku keempat 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 3.6%(S4 2020: -3.4%).

Catat Annuar, perkembangan ini sejajar dengan:

  • seiring dengan prestasi ekonomi negara maju dan serantau(China: 4.0%, USA: 5.5%, Singapura: 5.9%, Indonesia: 5.0%, Filipina: 7.7%).
  • dipacu oleh prestasi tiga sektor utama iaitu Perkhidmatan (+3.2%), Pembuatan (+9.1%) dan Pertanian (+2.8%).
  • sektor perlombongan dan pembinaan mencatat pertumbuhan negatif yang lebih kecil berbanding S3 2021 – menunjukkan tanda-tanda pemulihan
  • sektor permintaan luar kekal kukuh dengan eksport dan import mencatat nilai tertinggi – eksport meningkat sebanyak 29% manakala import 29.6%. Ini menjadikan jumlah dagangan berkembang sebanyak 29.2%.
    • pelaburan langsung asing (FDI) mencatat net inflow sebanyak RM24.7 bilion, menjadikan jumlah net inflow FDI keseluruhan tahun 2021 sebanyak RM50 bilion. Nilai ini adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun pra-Covid-19 seperti tahun 2017, 2018 dan 2019.

Catat beliau lagi, dari segi pertumbuhan KDNK bulanan:

  • prestasi bulan Oktober meningkat 2.7% dan bulan November bertambah baik 5.4% berikutan tiada lagi sekatan pergerakan antara negeri sejak Oktober 2021.
  • pertumbuhan bulan Disember lebih kecil pada 2.6% berikutan kebimbangan penularan varian Omicron dan bencana banjir di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Katanya, secara keseluruhan, KDNK 2021 berkembang sebanyak 3.1%(unjuran rasmi sebelum ini: 3.0% – 4.0%) setelah mencatat penguncupan 5.6% pada tahun 2020.

Sehubungan itu, kata Annuar, demi melangkah ke hadapan:

  • Pada masa ini, unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 dikekalkan di antara 5.5% dan 6.5% selari dengan unjuran oleh IMF dan Bank Dunia masing-masing pada 5.7% dan 5.8%.
  • Semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini akan diumum oleh BNM pada bulan Mac 2022.
  • Pengekalan kelonggaran sekatan pergerakan, aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak serta permintaan domestik dan luar yang tinggi, dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Sentimen positif perniagaan dan pengguna yang berterusan diperkukuh oleh peningkatan kadar vaksinasi di kalangan populasi.

“Kerajaan terus komited untuk bertindak secara strategik, proaktif dan tegas bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan berdaya tahan di samping berusaha untuk mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19 ke atas ekonomi,” katanya. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button