Politik

KDN perlu maklumkan SOP penjara, penahanan individu

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) perlu memaklumkan kepada umum mengenai prosedur operasi standard (SOP) terhadap pusat tahanan dan mereka yang ditahan.

Ini kerana Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dikatakan ‘menyepi’ terhadap status pusat tahanan dan penjara di seluruh negara.

Sedangkan, tahanan di negara ini khususnya di Sabah dan Kedah menjadi penyumbang besar terhadap peningkatan jangkitan Koronavirus (Covid-19) akhir-akhir ini.

Oleh demikian, beberapa perkara perlu dijelaskan mengenai SOP penjara seperti penjarakan fizikal dan kaedah penahanan orang secara berkumpulan.

“Saya terbaca dalam media sosial yang memberi teguran, kalau kita lihat banyak daripada isu jangkitan Covid-19 di pusat tahanan atau penjara, ini adalah di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.

“Tetapi kita tidak lihat apa yang diusahakan oleh beliau untuk memastikan SOP penjarakan fizikal di pusat tahanan ini.

“Adakah pengurungan mereka itu mematuhi SOP Kementerian Kesihatan (KKM) dengan penjarakan fizikal.

“Ataupun adakah mereka semua berkerumun di satu tempat yang kecil ketika ditahan.

“Ini bukan sahaja di penjara dan pusat tahanan, tetapi juga perlu dilihat dan diteliti untuk memastikan mana-mana tindakan penguatkuasaan melibatkan pengumpulan sejumlah orang yang ramai maka SOP penjarakan fizikal itu mesti dipatuhi.”

Demikian penegasan diberikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perutusan khas Covid-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Semalam.

Muhyiddin sebelum ini memaklumkan keadaan Covid-19 di negara ini terkawal walaupun angka baharu jangkitan meningkat sehingga 691 orang kelmarin.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana penularan tersebut sebahagian besar hanya melibatkan jangkitan dalam penjara yang dikawal ketat.

Justeru, Fahmi turut bersetuju dengan tindakan tidak mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Saya rasa ini adalah langkah yang berasaskan kepada fakta dan data.

“Bila kita lihat memang pada waktu ini tidak mungkin, perlu untuk diadakan total lockdown dan juga penutupan sekolah kecuali di kawasan-kawasan zon merah.

“Yang ramai pasti cemas bila kita lihat angka besar, tetapi bila kita lihat dengan lebih teliti, kebanyakan kes yang berlaku di Sabah dan Kedah banyak berpunca daripada tahanan dalam penjara.

“Jadi dari segi itu, ia bukan penularan komuniti secara meluas.

“Oleh sebab itu, saya melihat langkah menutup sekolah bagi kawasan-kawasan yang bukan zon merah adalah bertepatan.

“Tetapi yang perlu dilakukan ialah satu penambah baikan segera terhadap pusat tahanan dan penjara untuk mengelak jangkitan,” tegas Pengarah Komunikasi PKR itu. – SM

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button