Sukan

KDA FC Gugurkan ‘CEO Batu’ Susulan Dakwaan Ganggu Remaja

KELAB Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) hari ini mengumumkan penamatan kontrak serta-merta terhadap pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’, susulan dakwaan salah laku membabitkan remaja perempuan.

Individu yang sebelum ini dilantik sebagai duta rasmi KDA FC itu berusia 22 tahun dan kini berdepan siasatan selepas didakwa menghantar mesej serta gambar berunsur seksual kepada seorang remaja berusia 14 tahun.

Menurut kenyataan rasmi daripada pihak kelab, tindakan tegas itu diambil bagi menjaga reputasi pasukan dan menunjukkan komitmen KDA FC terhadap prinsip integriti serta kelakuan beretika.

“Pihak pengurusan KDA FC tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang melibatkan unsur jenayah atau mencemar nama baik kelab. Kontrak individu terbabit ditamatkan serta-merta berkuat kuasa hari ini,” kata kenyataan tersebut.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa dan suspek telah tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

Perkembangan ini turut mencetus perbincangan hangat dalam kalangan peminat bola sepak dan pengguna media sosial yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap tindakan pempengaruh berkenaan.

Sebelum ini, ‘CEO Batu’ sering dilihat aktif dalam aktiviti promosi dan kandungan media sosial berkaitan KDA FC dan mempunyai pengikut yang ramai, khususnya dalam kalangan remaja.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button