Nasional

KD Lekir sertai latihan perang maritim terbesar di Hawaii

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar Kapal Diraja (KD) Lekir menyertai eksesais multilateral maritim terbesar dunia Rim of The Pacific 2018 (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Kepulauan Hawaii bermula 29 Jun hingga 4 Ogos depan.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, penyertaan KD Lekir yang diketuai Pegawai Memerintah, Komander Mohd Asri Dasman itu adalah pembabitan kedua dalam eksesais yang dianjurkan Tentera Laut Amerika Syarikat itu selepas kali pertama pada 2018 menerusi KD Lekiu dari Skuadron Frigat Ke-23.

“Buat julung kalinya, TLDM menerusi KD Lekir diberi penghormatan untuk melaksanakan penembakan misil EXOCET MM40 ketika eksesais itu berlangsung.

“Penghormatan ini adalah detik bersejarah buat TLDM yang mana buat pertama kalinya kapal TLDM akan melaksanakan latihan penembakan misil di luar perairan Malaysia.

“Selain itu juga, beberapa siri latihan peperangan maritim yang direncana akan turut dilaksanakan bersama angkatan tentera laut yang terbabit,” katanya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein juga turut mengucapkan selamat bertugas kepada anak-anak kapal KD Lekir dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya semalam.

Majlis Pelepasan Tali KD Lekir sempena pelayaran ke eksesais berkenaan disempurnakan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

KD Lekir yang memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) dijadual pulang semula pada 6 September depan selepas selesai menjalani eksesais. Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais akan mengambil masa selama 99 hari di laut.

Menurut TLDM lagi, penyertaan bagi siri eksesais pada kali ini membuktikan ketersediaan dan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa.

“Selain meningkatkan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga ke tahap yang tertinggi seiring angkatan tentera laut di peringkat global,” katanya.

Menurutnya, RIMPAC 2022 akan membabitkan penyertaan angkatan tentera laut dari 28 negara dari seluruh dunia dengan pembabitan aset sebanyak 41 kapal permukaan, lima kapal selam, 150 pesawat udara dan hampir 25,000 peserta eksesais.

“Objektif eksesais kali ini menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan ‘Capable, Adaptives, Partners’.

“Penganjuran eksesais yang dianjurkan secara dwi tahunan bermula sejak 1971 itu terus mendapat sokongan baik dikalangan angkatan tentera laut seluruh dunia yang mengambil bahagian bagi menyatakan pandangan masing-masing dalam konteks keselamatan maritim,” katanya. – SM

(Visited 467 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button