fbpx
Sukan

KBS-KPM bincang inisiatif bangunkan bakat sukan, kepimpinan anak muda

PENYELARASAN usaha dalam membangunkan anak muda melalui pembangunan bakat sukan dan kepimpinan merupakan antara aspek penting yang dibincangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi perkongsian dalam Facebook rasminya hari ini memaklumkan, KBS dan KPM sedang melihat inisiatif berterusan agar bakat anak muda diasah sedari awal dengan nilai kepimpinan, perpaduan, kerjasama serta disulam dengan nilai cintakan negara.

“KBS dan KPM telah lama menjalinkan kerjasama rapat khususnya dalam aspek pencarian bakat sukan di pelbagai peringkat dan ia akan diperkasakan lagi termasuklah perkongsian kepakaran, fasiliti dan kemudahan serta silang kemahiran.

Kerjasama ini amat bermakna kepada saya secara peribadi kerana di sinilah bermulanya fasa anak-anak Malaysia dibangunkan yang akhirnya menjadi kumpulan belia Malaysia,” kata beliau dalam perkongsian itu.

Perkongsian itu turut memaklumkan Reezal Merican hari ini mengunjungi Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin melalui inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian.


Beliau memaklumkan kerjasama kedua-dua kementerian ini juga akan melihat pendekatan dan intervensi yang boleh diambil bersama bagi memastikan dasar yang berkesan dapat dirangka khusus untuk kumpulan belia ‘NEET’ iaitu yang tiada pekerjaan, tiada dalam institusi pendidikan atau tiada latihan. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button