Politik

99,000 mahu Latheefa letak jawatan, Asyraf Wajdi gesa kembali ke PKR

PERGERAKAN Ketua Pemuda UMNO mendesak Latheefa Koya melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa (SPRM).

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, desakan itu dibuat berdasarkan keputusan pengundian yang dilakukan oleh beliau di Facebooknya yang bertanya sama ada Latheefa patut meletakkan jawatan atau tidak berikutan pendedahan rakaman perbualan telefon beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengundian yang dilakukan dalam tempoh lima hari itu telah mendapat 105 ribu undi dengan 94 peratus atau 99 ribu mahu Latheefa meletakkan jawatan dan 6 peratus atau 6,300 tidak bersetuju.

“Lebih 94 peratus responden bersetuju bahawa Latheefa Koya telah membelakangi prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dengan membuat pendedahan rakaman perbualan telefon beberapa individu yang berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan mahkamah.

“Tindakan tersebut diperakui ramai boleh mendatangkan subjudis dan menghina mahkamah yang sedang berjalan,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi mendakwa, tindakan Latheefa bermotifkan politik. Jelas Asyraf Wajdi, SPRM bukan sahaja seharusnya bertindak berkecuali daripada politik bahkan mesti dilihat melangkaui polemik politik kepartian.

“Justeru, Pemuda UMNO sekali lagi menyarankan agar Latheefa Koya melepaskan jawatan dan lebih sesuai kembali kepada jawatan asal beliau dalam kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat yang sedang mengalami krisis kepimpinan yang kronik!” kata Asyraf Wajdi.

Latheefa yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun 2020 selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Latheefa merupakan bekas ahli politik yang aktif dalam Parti Keadilan Rakyat sebelum ini.

Tindakan Latheefa  menerima kritikan lantang termasuk daripada beberapa orang peguam apabila mendedahkan secara terbuka rakaman audio termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada satu sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook.

Antara peguam yang mengkritik Lateefa adalah Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh. Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, tindakan Latheefa dan SPRM tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar hak privasi pihak terlibat.

Beliau berkata, walaupun perbualan itu mungkin membuktikan kesalahan jenayah sepatutnya SPRM atau polis menjalankan siasatan terlebih dahulu dan menyerahkan bukti kepada mahkamah.

Menurut Ramkarpal, sekiranya trend tersebut berterusan, wujud persepsi dalam kalangan masyarakat menyatakan seseorang itu terlebih dahulu didapati bersalah sebelum melalui proses perundangan di mahkamah.

Peguam terkenal Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata, tindakan Latheefa dan SRPM itu merupakan kemungkiran kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Sambil menyatakan rasa kesal, dukacita dan sedih terhadap apa yang dilakukan SPRM itu, Mohamed Haniff Khatri menegaskan bahawa tindakan seumpama itu sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali.-SM

 

 

 

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button