Haiwan

Dua ekor ular sawa berjaya ditangkap bomba

MELAKA 6 Februari – Misteri kehilangan binatang ternakan di kampung Bukit Piatu dekat sini terjawab apabila dua ekor ular sawa batik dianggarkan seberat 157 kilogram (kg) ditemukan di kawasan belukar berhampiran hari ini.

Reptilia berkenaan ditemukan oleh seorang lelaki yang juga pemandu sebuah jengkaut ketika membersihkan kawasan semak di situ.

Ramli Abdul Wahab, 42, berkata, kedua-dua ular sawa berkenaan berada tidak jauh daripada tempat dia membersihkan kawasan semak berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi.

“Saya ternampak kelibat ular sawa berkenaan selepas dua jam membersihkan kawasan semak berhampiran.

“Memang saya terkejut dan tidak pernah ternampak seekor ular sawa yang sangat besar manakala satu lagi bersaiz biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Kanan II, Abdillah Hamid berkata, sebuah jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima aduan kira-kira pukul 12.50 tenghari.

Sewaktu tiba di tempat kejadian katanya, seekor ular sawa betina dianggarkan seberat 150 kg dan panjang 4.5 meter berada berhampiran jengkaut tersebut.

“Anggota kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular berkenaan menggunakan peralatan khas.

“Manakala seekor lagi ular sawa dipercayai jantan berjaya ditangkap di kawasan semak berhampiran,” ujarnya.

Katanya, pihaknya banyak menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung kehadiran reptilia tersebut sejak beberapa minggu yang lalu.

Jelasnya, kedua-dua ular berkenaan akan dihantar ke Zoo Melaka.

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button