NasionalNegeriUncategorized

Kayuhan MAIPs Peduli pakej lengkap cantum jurang kaya misikin

PROGRAM Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli dilihat sebagai pakej lengkap dalam usaha mengatasi defisit sosial di kalangan masyarakat Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, program tersebut yang bukan sahaja dapat merapatkan jurang sosioekonomi tetapi juga dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam dari aspek kepelbagaian kaum.

Beliau kagum dengan inisiatif yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang DiPertua MAIPs dalam menyantuni rakyat yang memerlukan dan dalam masa yang sama menggerakkan jentera yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan ketika program kayuhan tersebut.

Menyifatkan pengalaman yang dialami tersebut sebagai sesuatu yang mahal dan tidak dapat diperolehi di tempat lain, Datuk Indera Noridah turut menyatakan hasrat beliau menjadikannya sebagai templat untuk disertakan dalam program anjuran pihak kementerian.

“Bagi saya Kayuhan MAIPs Peduli ini merupakan satu pakej besar yang dapat membantu menangani masalah defisit sosial yang menganggu gugat perpaduan kita.

“Melalui kayuhan ini, banyak jurang yang dapat didekatkan sebagai contoh jurang antara pemimpin dan rakyat, jurang ekonomi melalui bantuan yang disalurkan dan juga peluang pelbagai kaum berkumpul bersama,” katanya.

Katanya, usaha Raja Muda membawa masyarakat ke rumah ibadat yang berbeza dapat membantu kita lebih memahami tentang kepelbagaian agama sekaligus membolehkan kita menghormati antara satu sama lain.

“Sebelum ini, program perpaduan antara kaum yang kami anjurkan hanya melibatkan kami menyantuni masyarakat berbilang kaum tetapi dalam program selama dua jam ini, Tuanku Syed Faizuddin bukan sekadar menyantuni masyarakat tetapi Baginda juga menggerakkan jentera yang melibatkan ketua jabatan supaya dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke-3 bagi tahun 2023 mengiringi Tuanku Raja Muda dan turut disertai Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Muzeum Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim.

Pada program yang sama Baginda yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor, turut singgah di tiga rumah asnaf terpilih bagi menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Abu Hassan Ahmad, 55 yang menghadapi masalah kesihatan dan pendengaran, Bejah Abdullah, 74 penghidap darah tinggi dan kencing manis serta Saripah Zafeyah Syed Ahmad, 59 yang mengidap gout, darah tinggi dan buah pinggang.

Masing-masing menerima RM700 daripada Raja Muda.

Baginda juga turut berkenan mengurniakan sumbangan RM700 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Tan Kim Bee, 55 dari Kampung Teluk Kacang, yang berketurunan Siam.

Beliau juga singgah dan menerima taklimat di beberapa buah rumah ibadah masyarakat setempat termasuklah Gereja Baptist Perlis, Gurudwara Sahib, Tokong Sayur dan juga Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam yang terletak sekitar Kangar. – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button