Ekonomi

Bank Rakyat, MNC Kapital jalin kerjasama tawar perkhidmatan transaksi perbankan kepada pekerja migran Indonesia

PT MNC Kapital Indonesia Tbk dan Bank Rakyat hari ini memeterai Memorandum Persefahaman bagi penyediaan kemudahan pembiayaan patuh Syariah serta perkhidmatan perbankan dan kiriman wang kepada Pekerja Migran Indonesia (PMI) iaitu warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Memorandum Persefahaman tersebut ditandatangani oleh Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Tbk, Yudi Hamka dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman yang disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia, Drs. Teten Masduki; Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Executive Chairman MNC Group, Hary Tanoesoedibjo di hadapan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Kerjasama ini mewujudkan perkhidmatan perbankan dan kiriman wang rentas sempadan untuk PMI bagi mendapatkan pembiayaan Syariah sebelum ke luar negara sebagai modal untuk prosedur pentadbiran sebelum berlepas, serta untuk menyediakan dana untuk keluarga mereka di tanah air. Bank Rakyat akan bertindak sebagai rakan perkhidmatan perbankan kepada PMI di Malaysia untuk melakukan transaksi pemotongan automatik daripada gaji yang diterima semasa bekerja di Malaysia terus ke akaun MotionBank, perkhidmatan perbankan digital yang dimiliki oleh MNC Kapital.

Kerjasama ini juga memudahkan pemindahan rentas sempadan dan menyediakan pelbagai kemudahan transaksi dalam talian untuk PMI dan keluarga mereka di tanah air. Tambahan pula, perkhidmatan ini boleh digunakan oleh PMI untuk membuat tuntutan Keselamatan Sosial Pekerjaan.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Datuk Ewon Benedick berkata, “Kolaborasi strategik antara dua negara ini amat bertepatan dengan agenda di peringkat ASEAN (ASEAN Madani) menerusi konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam menjalinkan pengaturan strategik, memudah cara pergerakan modal insan, serta menyokong pengembangan syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

“Kolaborasi ini secara tidak langsung mampu memberi impak positif termasuk berupaya bagi membantu memastikan kemasukan PMI adalah secara sah ke Malaysia mengikut lunas undang-undang kedua-dua negara, keterjaminan keselamatan dan perlindungan hak-hak PMI dari segi perkhidmatan perbankan semasa berada di Malaysia, penambahan bekalan PMI khususnya dalam sektor pembinaan yang mana dijangka dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia di samping mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara kedua-dua negara.”

Sementara itu, Hary Tanoesoedibjo berkata, “Kami sangat berminat untuk mengadakan kerjasama strategik dengan Bank Rakyat. Selain dapat mengeratkan hubungan antara Indonesia dan Malaysia dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada PMI, kerjasama ini juga menjadi momentum MNC Group dalam mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa. Saya percaya dengan kepakaran MNC Kapital dalam perkhidmatan kewangan digital ini akan memberikan nilai signifikan kepada Bank Rakyat dan sebaliknya.

“Bukan sahaja perkhidmatan perbankan, malah mampu membuka pilihan pembiayaan untuk calon PMI sebelum mereka berlepas. Pentingnya inisiatif ini kerana ramai bakal pekerja tidak mampu berhijrah atau berpindah disebabkan kekangan kewangan untuk menjalani latihan, pengeluaran pasport, pemeriksaan kesihatan, tiket dan lain-lain. Hari ini merupakan permulaan langkah penting dan bermakna daripada kedua-dua pihak untuk membina infrastruktur kewangan digital yang teguh bagi Indonesia dan Malaysia,” tambah Hary Tanoesoedibjo.

Manakala, Yudi Hamka berkata, “Kerjasama antara MNC Kapital dengan Bank Rakyat ini akan memberi sokongan padu kepada aktiviti kewangan PMI. Berdasarkan data Agensi Perlindungan Pekerja Migran Indonesia pada Jun 2023, jumlah pekerja yang ditempatkan di Malaysia adalah melebihi 38 ribu orang daripada hampir 136 ribu pekerja yang telah berlepas tahun ini. Selain dapat mencapai pertumbuhan dalam pemerolehan pengguna dan volum transaksi, MNC Kapital juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman perbankan dan pembiayaan mereka menerusi pelbagai inovasi jenama Motion, termasuklah MotionBank sebagai penyelesaian kewangan untuk PMI.”

“Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun simpanan sebagai platform pembayaran gaji kepada PMI selain membolehkan PMI menikmati kemudahan perbankan digital dan rentas sempadan seperti pembayaran dan pemindahan dana atau pengiriman wang kepada keluarga di tanah air dengan lebih mudah dan cepat,” Mohd Irwan.

“Selain itu, bakal PMI yang mendapatkan pembiayaan Syariah daripada MNC Kapital akan terus dapat mengakses perkhidmatan perbankan Bank Rakyat semasa di Malaysia. Bagi inisiatif ini, PMI dapat membuat bayaran semula pembiayaan secara pemotongan automatik melalui akaun simpanan mereka bersama Bank Rakyat,” tambah Mohd Irwan.

Di samping itu, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman menyatakan bahawa Bank turut melihat peluang jalinan kerjasama perbankan digital bersama MotionBank ini bagi mengukuhkan lagi usaha Bank Rakyat dalam mengembangkan penawaran perbankan digital kepada pelanggan di kedua-dua negara pada masa hadapan. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat perkenal kemudahan pembukaan Akaun Simpanan-i di platform BRICK

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button