Nasional

Kayu belian atau kayu besi, ramai tercengang bila tahu harganya

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri menjelaskan harga bagi pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000 yang menjadi pendebatan ‘hangat’ di media sosial semalam adalah wajar.

Ini kerana kata mereka, jambatan yang terletak di Kampung Mutap, Bekenu, Miri itu dibina menggunakan kayu belian yang bermutu tinggi dan harganya pula mahal.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, JKR Bahagian Miri berkata, selain penggunaan kayu belian, pelbagai faktor diambil kira.

Antaranya ialah keadaan laluan ke Kampung Mutap, logistik dan langkah keselamatan berikutan kawasan itu dipenuhi buaya.

Menurut kenyataan itu lagi, kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

“Pembinaan jeti itu pada mulanya dicadangkan mengguna keluli tetapi disebabkan kos yang terlalu tinggi, Ketua Kampung Mutap, Sediah Abdullah menolak cadangan itu dan memilih jeti belian sebagai ganti.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” ujar kenyataan itu.

Jeti Kayu Belian, Kampung Mutap, Bekenu, Miri yang tular baru-baru ini.

Terdahulu, semalam media melaporkan foto satu jeti kayu sepanjang 15 meter melalui Projek Siap, Bina Baru Jeti Kampung Mutap, Miri, Sarawak tular di media sosial.

Menjadi persoalan ramai apabila struktur jeti yang dibina menggunakan kayu dengan ukuran lebar satu meter dan panjang 15 meter itu memakan kos sebanyak RM50,000.

Melalui Facebook Corporate Communication JKR Sarawak, tempoh mula projek ini adalah pada 7 Mac 2022 dan siap lebih awal daripada jadual iaitu pada 1 April 2022.

Jeti ini dibina untuk menggantikan jeti lama yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Pokok belian adalah sejenis kayu keras yang hanya boleh ditemukan di Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (Kalimatan dan Sumatera). Ia adalah kayu keras yang amat bermutu.

Fakta yang harus diketahui

1. Kayu Besi 

Kayu belian atau tebelian adalah antara kayu yang terkenal dengan ketahanannya, ia adalah kayu yang keras, tahan lama dan tidak mudah reput sehingga ia diberi jolokan nama kayu besi Borneo.

2. Memakan Masa Ratusan Tahun Jadi Matang

Tidak seperti pokok-pokok biasa, pokok belian mengambil masa yang lama sehingga mencecah ratusan tahun sebelum ia menjadi matang.

Bagi sepohon pokok belian mencapai status matang ia selalunya memakan masa selama 100 tahun hingga 120 tahun.

3. Boleh Tahan Beberapa Dekad Atau Abad

Kayu ini mempunyai ciri-ciri ekologi yang tinggi, anatomi unik dan tahan lama secara semulajadi.

Ketahanannya boleh melangkau beberapa dekad atau abad andai berada dalam kondisi kering.

Walaubagaimanapun, ketahanan ini juga adalah bergantung pada kematangan pokok atau kayu belian yang digunakan. Bagi kayu belian muda ia selalunya tidak tahan berbanding kayu belian yang matang.

4. Permintaan Tinggi 

Atas sebab ketahanannya yang tidak mudah menyusut, kayu belian sentiasa menerima permintaan yang tinggi. Ia menjadi bahan pilihan dalam pembinaan berat dan binaan rumah seperti tiang rumah, dinding, jambatan dan lantai rumah.

Sebab itulah kayu belian ini banyak digunakan dalam pembinaan rumah panjang suatu ketika dulu.

Selain kegunaan dalam pembinaan, kayu belian juga banyak digunakan dalam pertanian tradisional, khususnya penanaman lada. Oleh kerana ia tidak mudah reput tatkala terdedah pada air hujan dan serangan anai-anai atau serangga lain, maka kayu belian digunakan sebagai tiang sokongan kepada pokok lada.

Disebabkan permintaan dan nilai pasaran yang tinggi inilah pokok-pokok belian di hutan belantara sentiasa menjadi sasaran syarikat pembalakan dan kian berkurangan serta sukar diperoleh.

5. Biji Benih Keras, Percambahan Berbulan

Dari pembiakannya pula, biji benih pokok ini dikatakan memerlukan masa yang cukup lama yakni antara 4 hingga 6 bulan untuk bercambah kerana benihnya mempunyai kulit yang keras.

Bagi yang ingin mengetahui kerasnya kayu belian boleh membelinya melalui Shoppee. > Kayu Belian 

(Visited 4,992 times, 3 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button