Nasional

Melayu `janggal’ di bawah Pakatan Harapan?

KOMENTAR

SESUATU yang harus direnung oleh gabungan parti Pakatan Harapan (PH), tak kiralah waima Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun ditakdirkan akhirnya menjadi Perdana Menteri kelapan adalah isu kegelisahan orang Melayu dalam tempoh dua tahun sejak 9 Mei 2018.

Iklim politik Melayu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dikatakan begitu berbeza dari apa yang pernah kaum majoriti itu depani sebelum ini.

Tumbangnya Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dalam PRU-14 itu kelihatan melenyapkan penguasaan total politik bangsa Melayu.

Di bandar-bandar besar, pinggir bandar dan ceruk-ceruk kampung ketika Suara Merdeka menghadiri kenduri-kendara, tak kira majlis kecil besar, majlis kahwin, aqiqah anak, sambutan hari jadi, para tetamu bercerita di bawah khemah kecil dipasang depan rumah isu satu ini sahaja – “nasib Melayu tidak terjamin hari ini”.

Kata mereka, orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsanya sendiri – meskipun masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.

Kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan. Prinsip first amongs equal atau ‘pertama di antara yang sama’ – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip- prinsip yang lain.

Pembawakan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh parti tertentu dan sekutunya telah mengancam, membelenggu dan meresahkan setiap tubuh dan jiwa raga orang Melayu. Sama ada di desa mahupun di pinggiran bandar, orang Melayu merasakan bahawa ‘Malaysian Malaysia’ telah mencengkam identiti dan jati diri ke-Melayuan mereka.

Kemenangan PH dalam PRU-14 itu seakan satu kejanggalan. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis, tidak toleran dan pada satu ketika digelar pula sebagai ‘Taliban’.

Janggal kerana hari ini apabila orang Melayu mahu mempertahankan kedudukan Islam, mereka dikatakan ekstrem, walhal Islam sudah sedia termaktub sebagai agama Persekutuan.

Janggal kerana hari ini apabila orang Melayu menuntut haknya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial, maka mereka digelar sebagai pengguna ‘tongkat’ yang tegar dan gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri.


Tetapi apabila wujud organisasi-organisasi dan individu yang memperjuangkan hak dan ideologi songang mereka, seperti LGBT, liberalisma dan cauvinisme, mereka pula dibenarkan atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.

Dan apabila wujud pihak-pihak yang mempersoal hak keistimewaan Melayu dan mempersenda agama Islam serta Raja-Raja Melayu, dikatakan pula mereka sebagai reformis peneraju Malaysia Baharu.

Maka Suara Merdeka ingin bertanya kepada semua, di manakah Melayu di dalam kejanggalan-kejanggalan ini? Adakah bangsa akan terus layu dan lesu setelah jatuh terduduk, selepas hilang kuasa politiknya pasca PRU-14?

Dalam keghairahan orang Melayu mempertahankan identiti dan jati diri mereka, telah dilupakan pula satu hakikat yang paling penting – bahawa orang Melayu semenjak merdeka malah lebih awal dari itu, telah hidup bersama bangsa-bangsa lain dan tinggal di dalam sebuah negara yang majmuk nan pelbagai.

Tidak keterlaluan untuk Suara Merdeka berpendirian bahawa mempertahankan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara adalah jihad kita bersama. – SM

(Visited 389 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button