Nasional

Anwar komited tangani pembaziran, ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk mengatasi pembaziran dan ketirisan yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata Anwar telah mengarahkan kabinet untuk mengambil serius isu tersebut dan meneliti setiap teguran dalam laporan itu.

Beliau berkata dalam pertemuan pasukan audit dengan Anwar pada 17 Jan lepas, perdana menteri menyatakan beliau tidak akan menghalang sebarang kelemahan daripada dilaporkan malah meminta kabinet menyemak laporan itu.

“Mesej daripada perdana menteri benar-benar penguat moral kepada pasukan untuk melakukan yang terbaik dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya pada taklimat media Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 di sini hari ini.

Pada 17 Jan, Anwar mengarahkan kabinet memandang serius dan meneliti setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 mengenai perbelanjaan dan ketirisan yang tidak menepati syarat dan peraturan.

Nik Azman berkata Sabah dan Selangor masih belum memulangkan baki dana tertunggak yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) berjumlah RM145.37 juta untuk perolehan vaksin dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP).

Beliau berkata rundingan untuk mendapatkan baki dana itu akan diadakan dengan setiausaha kerajaan negeri Selangor terlebih dahulu sebelum perbincangan diadakan dengan Sabah.

Nik Azman berkata dana itu, yang pecahannya tidak didedahkan untuk setiap negeri, harus dikembalikan kepada KWAN selepas kempen vaksinasi kebangsaan berakhir pada Oktober 2021. -SM

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button