Politik

Jika UMNO mahu gencatan senjata, kembalikan kuasa yang dirampas

KETUA Pemuda DAP (DAPSY) Howard Lee menegaskan sekiranya UMNO mahukan gencatan senjata dalam politik, mereka perlu mengembalikan semula ‘kuasa’ yang dirampas.

Hanya dengan cara itu kata Howard. dapat mengembalikan semula mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji berkata, UMNO kerap mengaku perjuangan mereka demi Islam namum mengikut kefahamannya, agama tersebut amat menitikberatkan soal amanah dalam kepimpinan.

Islam juga menurut Howard, mengajar bahawa apabila berbicara tidak berdusta, apabila berjanji perlu ditepati dan apabila diberi amanah tidak dikhianati.

“Ini semua telah dilanggar oleh UMNO dan konco-konconya semasa Langkah Sheraton tempoh hari.

“Jika jujur inginkan gencatan senjata, mudah sahaja – kembalikan kuasa yang kamu rampas agar mandat rakyat pada PRU ke-14 dapat diteruskan oleh Pakatan Harapan. Berani kerana benar, jangan jual agama, itulah harmoni sebenar,” kata Howard.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menggesa semua ahli dan parti politik, sama ada di blok kerajaan atau pembangkang, melakukan gencatan politik buat sementara waktu bagi memberi laluan pemulihan ekonomi berjalan lancar.

Asyraf Wajdi menegaskan keutamaan semua pihak ketika ini adalah untuk membantu rakyat yang dihimpit kesukaran kesan penularan COVID-19, berbanding perebutan kuasa politik yang hanya akan memudaratkan negara.

“Tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah saat paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar lantaran kegawatan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat ini, Pemuda UMNO menyarankan ahli politik daripada gabungan parti dalam kerajaan mahupun pembangkang, dapat segera melakukan gencatan politik buat seketika,” kata Asyraf Wajdi.

Sementara itu Howard meminta Asyraf Wajdi segera bermuhasabah diri dengan sikapnya yang didakwa bersifat munafik dalam politik.

“Sesungguhnya amanah rakyat yang diberikan pada pilihanraya yang lalu adalah untuk Pakatan Harapan. Biarlah rakyat yang tentukan kerajaan pilihan mereka dalam pilihan raya,” kata Howard.-SM

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button