Politik

Kaum Dayak Sarawak tolak GPS jika sokong Muhyiddin sebagai PM Ke-10

PENGASAS Saya Anak Sarawak (SAS), Peter John Jaban yang juga seorang aktivis veteran veteran memberi amaran kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa keputusan GPS untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Dayak.

Beliau berkata, pengundi Dayak mungkin akan menghukum GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana menyokong PN dalam membentuk kerajaan persekutuan, menurut laporan portal berita FMT, hari ini.

Akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily semalam memetik Naib Presiden Kanan parti tonggak GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Fadillah Yusof sebagai berkata, gabungan itu telah mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengenai sokongan Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin.

Kaum Dayak membentuk 40% daripada jumlah pengundi di Sarawak.

“Ingatlah bahawa pengundi Dayak mungkin membuat pusingan U yang besar pada PRN akan datang. Sekarang semua pengundi Dayak yang menyokong GPS pada PRN lepas sangat kecewa kerana mereka menaruh kepercayaan yang tinggi kepada gabungan itu,” ujar Jaban.

Kelmarin, petisyen yang menyeru Ahli Parlimen GPS beragama Kristian agar menolak sebarang kerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan memperoleh lebih 23,400 tandatangan. Sehingga semalam, jumlah itu telah meningkat kepada lebih 36,800.

Petisyen itu dilancarkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, Baru Bian menggesa GPS menolak sebarang pakatan dengan PN dan parti komponennya, PAS.

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin tentang cubaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkristiankan Malaysia yang menurut Presiden Bersatu itu, telah diambil di luar konteks oleh pesaing PN untuk memburukkan imejnya.

Baru juga berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tokoh nombor dua PN telah menunjukkan dirinya sebagai “pentaksub agama dan perkauman” apabila menuduh golongn bukan Islam sebagai punca rasuah.

Penganalisis James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania pula berkata, keputusan GPS untuk menyokong PN tidak seharusnya ‘mengejutkan.’

“Rakyat lupa bahawa GPS telah menjadi sebahagian daripada kumpulan teras yang menyokong kerajaan PN sejak 2020,” katanya sambil menambah, gabungan Sarawak itu telah menerima banyak konsesi daripada PN.

Beliau tidak bersetuju dengan Jaban dengan berkata pengundi Dayak mungkin akan melupakan kemarahan mereka berhubung sokongan GPS terhadap PN menjelang PRN akan datang.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengundi Dayak mungkin merungut sekarang tetapi “apa yang akhirnya paling penting dalam pilihan raya ialah keupayaan calon untuk menyampaikan sesuatu yang material.

“Sebagai contoh, orang Kadazan sebelum ini beberapa minggu merungut mengenai PAS masuk ke Sabah.

“Tetapi sentimen itu tidak kekal dan mereka dengan senang hati mengundi Gabungan Rakyat Sabah yang merupakan cabang PN,” katanya. – FMT – SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button