Politik

Pelantikan TPM dari UMNO secara melulu boleh pecah-belahkan parti

PELANTIKAN calon Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO tidak boleh dilakukan secara melulu atau sembrono kerana ia boleh memecah-belahkan parti tersebut.

Setiausaha Barisan Nasional Selangor Isham Jalil berkata, calon yang tidak sesuai boleh mencetuskan kemelut dalaman UMNO.

Beliau berkata, desas-desus berhubung pelantikan calon TPM daripada UMNO itu sejak semalam dan mendakwa langkah itu diambil oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassian sebagai usaha menyelamatkan hubungan parti yang dipimpinnya dengan UMNO.

“Mungkin ini yang Muhyiddin mahu, iaitu menyelamatkan partinya PPBM dengan membeli sedikit masa bernafas dan pada masa yang sama menghuru-harakan dan melemahkan UMNO.

“Calon yang Muhyiddin mahu dan selesa tentunya tidak akan dipersetujui oleh rata-rata akar umbi dan pemimpin UMNO kerana calon ini akan dilihat cenderung menyebelahi Muhyiddin dan PPBM.

Dan sebaliknya calon yang akar umbi dan pemimpin UMNO mahu besar kemungkinan tidak akan diterima oleh Muhyiddin dan PPBM. PPBM tidak lagi boleh membeli UMNO dan UMNO tidak akan menjual diri,” kata Isham.

Ketika ini terdapat portal melaporkan sumber dalaman UMNO memberitahu Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun sehingga kini Hishammuddin masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut.

Sementara itu Isham berkata, sekiranya kedua-dua parti akhirnya bersetuju dengan seorang calon, jawatan tersebut akan hanya bersifat sementara selama beberapa bulan.

Ini kerana Kerajaan Perikatan Nasional kini berhadapan dengan majoriti yang tipis atau tiada majoriti dalam Parlimen dan menyebabkan kemelut politik terus berlaku sehinggalah Parlimen dibubar.

“Dan UMNO tentunya perlu korbankan pelbagai perkara kepada Muhyiddin menjelang pilihanraya umum ke-15 sebagai timbal balas.

“Buat apa terima satu jawatan timbalan untuk beberapa bulan tetapi korbankan perjuangan dan maruah parti kepada PPBM?

“Dan seperti saya kata sebelum ini, oleh kerana PPBM terdiri daripada pelbagai pengkhianat, rakyat akan tolak mereka dalam pilihanraya dan jika kita (UMNO) beri laluan kepada mereka (PPBM), PH yang akan menang dan kembali berkuasa. Ini tidak bijak dan tidak boleh diterima akal,” kata Isham.-SM

 

 

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button