Hiburan

Wings gegar Kuching Showcase Wings One Night Only Live

SELEPAS sekian lama tidak muncul dengan persembahan berskala besar, Wings kembali menerusi Showcase Wings One Night Only Live In Kuching di Sarawak Chambers, Riverside Majestic Hotel, Kuching pada 27 Ogos 2022.

Penganjurnya Bidari Mohamad Suhaili dari BMS EVENT berkata, alasan utama membawa Wings masuk ke Kuching adalah kumpulan itu mempunyai ramai peminat selain vokalis, Datuk Awie yang ada pengikutnya yang tersendiri.

“Wings adalah kumpulan rock legenda yang masih utuh sehingga sekarang. Awie sebagai penyanyi utama Wings mempunyai ramai pengikut.

“Begitu juga lagu-lagu Wings yang tetap segar dalam ingatan peminat walau di mana sahaja mereka berada termasuklah di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, jika ditanya kepada pihak lain pun mereka pasti memberikan alasan sama. Malah, pada persembahan Raikan Cinta Ramadan Wings pada bulan Ramadan lalu juga berjaya. Ini bukti persembahan Wings tetap dinanti pada bila-bila masa.

Menurut Bidari, menerusi penganjuran Showcase Wings One Night Only Live In Kuching dia berharap mendapat sambutan sekali gus dapat membantu badan bukan kerajaan (NGO)  National Cancer Society Cawangan Sarawak.

“Harapan saya agar ‘showcase’ ini menjadi salah satu acara di dalam kalendar pelancongan Sarawak di samping boleh menarik pelancong domestik untuk sama-sama menyaksikan konsert artis Malaysia seperti Wings. Dalam masa sama, ‘showcase’ ini berkolaborasi dengan badan amal NGO seperti National Cancer Society cawangan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan HS Shazlicious juga penganjur bersama Showcase Wings One Night Only Live In Kuching, Mubarak Akhtar berkata, Kuching antara lokasi yang sentiasa dinantikan peminat Wings di sana.

“Sebenarnya sudah 10 tahun Wings tak buat ‘showcase’ atau konsert di Sarawak. Wings ada peminat di sana. Malah Kuching juga antara bandar besar nak buat konsert. Jadi, kita harap dengan adanya Showcase Wings One Night Only Live In Kuching ini peminat Wings boleh hadir bagi mengubat rindu. Dalam masa sama, mereka boleh membuat sumbangan untuk tabung National Cancer Society cawangan Sarawak.

“Malah ada satu persembahan makan malam sempena ulang tahun ke-36 Wings pada Februari lalu, kita jual meja dan ia laris dalam masa enam hari. Itulah aura Wings yang sentiasa dinantikan.

“Selain itu, kita juga mengalu-alukan kepada mana-mana pihak untuk menjadi rakan startegik yang nak sama-sama terbabit dalam konsert sebagai penaja untuk membeli meja,” katanya.

Penganjuran Showcase Wings One Night Only Live In Kuching diadakan selama seminggu selepas Showcase Romantika Awie di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Mubarak, Dato’ Awie selaku penyanyi tidak ada masalah kerana lagu-lagu Wings dan Awie berbeza.

“Daripada Awie sendiri, dia okay. Dia bersetuju untuk menjayakan dua persembahan besar ini dalam jarak seminggu. Malah, dari segi latihan pun tak ada masalah. Bagi Awie, cukup masa rehat seminggu. Lagi pula ‘range’ muzik Wings dan lagu solo Awie lain. Jadi tak ada masalah buatnya,” katanya.

Pada Showcase Wings One Night Only In Kuching yang berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Wings menyampaikan hampir 20 lagu.

Harga tiket dibahagikan kepada beberapa kategori dengan harga yang telah ditetapkan seperti berikut;
Diamond: RM12,000 (semeja untuk 10 orang)
Platinum: RM10,000 (semeja untuk 10 orang)
Gold: RM8,000 (semeja untuk 10 orang)
Silver: RM5,000 (semeja untuk 10 orang)
Bronze: RM3000 (semeja  untuk 10 orang)

Tiket akan mula dijual pada 24 Jun ini melalui pasukan pemasaran BMS Event. Penempatan meja adalah berdasarkan harga dan ‘first come first serve basis’. – SM

 

(Visited 560 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button