
Karyawan nasihat artis perlu hati-hati elak diekploitasi dengan perniagaan haram
MERUJUK kepada kes hangat yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan beberapa artis dan syarikat perunding kewangan CSA Academy yang dikaitkan dengan penipuan ratusan juta ringgit, Persatuan Karyawan menasihatkan golongan artis dan selebriti agar lebih berhati-hati dalam menerima tawaran sebagai duta atau penajaan.
Langkah ini penting bagi mengelakkan mereka dieksploitasi oleh perniagaan yang menyalahi undang-undang.
Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez, menegaskan bahawa kes sebegini bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlaku beberapa kali sebelum ini.
“Para manipulator sering menggunakan selebriti kerana pengaruh mereka dalam masyarakat. Kehadiran artis dalam sesuatu produk atau skim mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada orang ramai, menjadikan mereka sasaran mudah bagi syarikat atau individu yang ingin mengambil kesempatan,” ujarnya.
Mengulas isu terkini, Freddie percaya bahawa artis atau selebriti yang terlibat mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi oleh pihak sindiket.
“Kebanyakan mereka menerima tawaran ini kerana selain daripada membuat persembahan, menjadi duta produk atau menerima tajaan juga merupakan sumber pendapatan utama mereka. Namun, saya percaya modus operandi sindiket sebegini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah mereka menjalankan perniagaan yang sah di sisi undang-undang, menyebabkan para artis bersetuju menerima tawaran mereka.”
Beliau menasihatkan agar golongan artis lebih berhati-hati dan membuat semakan teliti sebelum menerima sebarang tawaran, terutamanya jika bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi atau luar biasa.
“Impaknya amat besar jika mereka terpalit dengan kes sebegini. Ia bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi artis berkenaan, tetapi juga mencemarkan kepercayaan masyarakat terhadap industri hiburan secara keseluruhannya,” tambah beliau.
Sebagai langkah pencegahan, Freddie menyeru agar artis mengambil inisiatif untuk menyiasat latar belakang syarikat yang menawarkan tajaan atau kontrak duta.
“Dapatkan nasihat profesional jika perlu, terutama dalam hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan. Jangan terburu-buru menandatangani sebarang kontrak tanpa memahami implikasinya,” tegasnya, mengakhiri kenyataan.