Rencah Hidup

Kartel Zakat? MAIWP Nafi, Janji Telus dan Digital

TULAR di media sosial baru-baru ini sebuah video memaparkan luahan kecewa seorang wanita asnaf, dikenali sebagai Puan Putri, yang mendakwa menerima bantuan lampin pakai buang tidak mengikut permintaan sebenar daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, wanita itu mendakwa memohon lampin jenis ‘pants’ bersaiz XL untuk anaknya yang terlantar, namun bantuan yang diterima adalah lampin jenis ‘tape’. Ia bukan kali pertama kesilapan sedemikian berlaku, malah beliau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap sistem permohonan bantuan yang disifatkan sebagai ketinggalan zaman dan tidak mesra pengguna.

“Saya bukan tak bersyukur. Tapi kalau dah setiap kali macam ni, siapa yang tak kecewa? Saya dah nyatakan jenis lampin yang sesuai, tapi tetap bagi yang lain,” luahnya dalam video tersebut.

Luahan tersebut mengundang perhatian ramai netizen yang menyokong gesaannya agar MAIWP memperkemas proses penyampaian bantuan, termasuk mempercepatkan peralihan kepada sistem permohonan digital.

MAIWP Akui Berlaku Kesilapan

Dalam satu kenyataan balas, MAIWP mengakui berlaku kelewatan dan kesilapan dalam agihan Skim Bantuan Perubatan kepada penerima terbabit. Pihaknya memohon maaf atas kekurangan tersebut dan menegaskan komitmen untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem sedia ada.

“Tiada sebarang unsur ‘kartel’ atau pilih kasih. Semua pembekal dipilih menerusi sistem tender terbuka mengikut zon, dengan pemantauan rapi bagi memastikan ketelusan,” kata kenyataan itu.

MAIWP turut memaklumkan bahawa sebanyak RM47.69 juta telah disalurkan kepada 6,398 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun 2024, manakala peruntukan tahun ini meningkat kepada RM60.1 juta.

Netizen Berbelah Bahagi

Isu ini turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang bersimpati dan menyokong usaha Puan Putri dalam menuntut haknya sebagai penerima zakat, namun tidak kurang juga yang menyifatkan luahannya sebagai tidak wajar dan menyalahkan pihak pemberi bantuan.

Langkah Penambahbaikan

Bagi menangani isu ini, MAIWP memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti penambahbaikan menyeluruh termasuk:

  • Penggunaan sistem permohonan dan pengesanan bantuan secara digital.
  • Pelaksanaan audit berkala terhadap pembekal bantuan.
  • Penambahbaikan komunikasi dua hala antara MAIWP dan penerima.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button