Berita

K-KOMM pertimbang perluas pemberian PerantiSiswa kepada pelajar institusi selain KPT

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedia memperluas pemberian bantuan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar golongan B40 di institusi pendidikan selain daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan permohonan yang dibuka sejak 15 April lepas, terdapat permohonan daripada pelajar institusi di bawah kementerian lain.

Antara institusi berkenaan ialah Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kita melihat untuk fasa pertama, kita akan berikan PerantiSiswa kepada pelajar B40 di bawah KPT iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti manakala untuk fasa kedua, kita pertimbangkan untuk beri kepada institusi lain pula.

“Kalau ada kapasiti yang cukup (peranti) dengan siling (belanjawan) yang diberikan kepada K-KOMM, kita bersedia untuk perluaskannya berdasarkan permintaan (permohonan),” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di sini malam tadi.

Menjelaskan mengenai jumlah pelajar yang dijangka menerima manfaat bantuan itu berbeza dengan angka yang diumum pada Belanjawan 2022 lepas, Annuar berkata jumlah asal 600,000 pelajar adalah anggaran bagi belanjawan tersebut.

Beliau berkata semakan dan perincian lanjut mendapati angka sebenar pelajar golongan B40 di KPT adalah lebih rendah, selain berpandangan peranti yang murah tidak sesuai untuk diberikan kepada pelajar.

“Pelajar memerlukan peranti berkapasiti tinggi. Justeru, kita cadang buat perolehan peranti kualti tinggi dengan angka pelajar yang kita anggarkan buat masa ini ialah 400,000 orang…namun ini semua bergantung kepada permohonan sebenar.

“Kalau kita buat perolehan banyak tapi pemohonannya sikit, akan berlaku pembaziran. Jumlah sebenar permohonan belum kita ketahui. Fasa pertama dibuka 15 April dan tutup 15 Mei,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button