Nasional

KPDNHEP tumpaskan skim piramid di Pulau Pinang

Sebuah syarikat yang menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid terbongkar dalam satu operasi bersepadu di pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang pada 19 Oktober lalu.

Operasi itu melibatkan Pasukan Tindakan Khas, Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

Azman Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP berkata, pasukan serbuan turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Operasi bersepadu itu dijalankan hasil daripada maklumat aduan awam dan risikan dilakukan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Seramai tujuh individu terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang lelaki warga Taiwan ditahan dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan, kami menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan bagi membantu siasatan.

“Selain itu, sembilan kenderaan mewah iaitu model BMW, Toyota, Maserati, Porsche dan Mercedes Benz serta pelbagai beg tangan mewah milik suspek turut disita,” katanya.

Sebanyak 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai disita dengan nilai keseluruhan berjumlah RM967,720.

“Siasatan awal dilakukan mendapati, syarikat itu disyaki menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun lalu.

“Syarikat itu juga disyaki turut aktif melakukan aktiviti itu di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Sarawak.

“Selain itu, syarikat ini juga dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut subsyeksen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) serta Seksyen 27B akta sama.

Semua suspek kes akan turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button