
Karnival Jualan Larut Malam Bawa Gempak, Pacu Ekonomi Melaka
MALAYSIA Midnight Sales Carnival sekali lagi berlangsung dengan penuh gemilang apabila mencatat kehadiran pengunjung tertinggi ke Mahkota Parade sepanjang hujung minggu lalu, sekali gus memacu sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Bersempena program Melaka Bila Larut Malam, edisi Mei 2025 menyatukan elemen membeli-belah, hiburan dan budaya, menjadikan karnival ini tarikan utama bukan sahaja kepada warga tempatan, malah turut menarik pelancong dari Singapura dan Indonesia.

Kehadiran pelancong yang meningkat secara mendadak turut melonjakkan kadar penginapan hotel dan memberi limpahan rezeki kepada komuniti perniagaan tempatan – daripada peniaga dan pengusaha kraftangan, hinggalah ke pemilik restoran dan pemandu e-hailing.
Acara berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam, dengan detik kemuncaknya — Special Sale Moment — pada malam 3 Mei. Pengunjung yang berbelanja minimum RM250 berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai lebih RM20,000.
Pelbagai aktiviti turut memeriahkan suasana termasuk persembahan khas oleh Datuk Awie dan Yasser Atak, cabutan bertuah, hujan belon, permainan interaktif seperti Spin & Win, pencarian harta karun, pertandingan Hari Pekerja, flash mob, pertunjukan silap mata, serta aktiviti seni seperti batik, inai, karikatur dan seni pasir.
Program ini mendapat sokongan padu daripada Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Mahkota Parade, Parkson, Grand Swiss-Belhotel Melaka dan Ojas Electronic. Penganjur, Jalakx Sdn Bhd, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik atas sokongan mereka.
Karnival Jualan Tengah Malam Malaysia dijangka kembali tahun hadapan dengan skala yang lebih besar dan pengalaman yang lebih mengujakan buat semua.