PRK

Karim tetap santuni pengundi sehingga saat akhir

Oleh Haslin Gaffor

KIMANIS, 16 Jan — Perjalanan meredah kawasan berbukit-bukau, dikelilingi hutan dan ladang getah serta melalui jalan tanah liat sudah pastinya mencabar dan memenatkan jika mahu “menjelajah” ke seluruh pelosok kampung di kawasan Kimanis.

Namun, kepayahan itu tidak menghalang calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang kerana menyedari betapa sokongan masyarakat penting, selain dapat bertemu mereka bagi memperjelaskan pelbagai isu serta memberitahu perancangannya, jika dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Berbaki dua hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, pada Sabtu ini, Karim tetap meneruskan program ‘turun padang’ menyantuni seramai mungkin pengundi, malah beliau ada juga mengunjungi tempat yang sama sebelum berakhir tempoh kempen pada 11.59 malam, 17 Jan.

Sehingga semalam, kesemua 19 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen Kimanis sudah dilawatinya sepanjang tempoh kempen PRK itu, sejak proses penamaan calon pada 4 Jan lepas.

Pelbagai pendekatan digunakan bagi membolehkan Karim, 67, bersemuka dengan pengundi di kawasan Parlimen Kimanis yang mempunyai 29,664 pengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pemilih tidak hadir berada di luar negara.

Bagi Karim, pendekatan bertemu rakyat secara bersemuka itu penting, dan telah dipraktikkan sejak beliau menceburi politik pada 1990 sehingga tempoh akhir menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bongawan pada 2013.

“Sebagai timbal balas kepada kepercayaan dan sokongan itu saya mendekatkan diri dengan masyarakat, mendekatkan diri dengan pengundi,” katanya ketika ditemu bual Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata segala permasalahan rakyat harus ditangani dan perlu dibantu supaya rakyat dapat menikmati hasil daripada sokongan mereka terhadap mana-mana parti dan wakil rakyat itu.

“Saya tidak pernah berpisah dengan penyokong dan mereka tahu di mana mereka boleh menghubungi saya apabila ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.

Pada kempen PRK Parlimen Kimanis ini, Karim turut menggunakan strategi serampang dua mata menerusi slogan “Cuti-cuti Balik Kampung Jumpa Ibu, Bapa, Mentua dan Saudara-Mara” bagi menarik pengundi luar pulang mengundi.

Beliau yakin pendekatan itu mampu menarik lebih ramai penduduk kawasan itu yang berada di Kota Kinabalu dan Labuan untuk pulang mengundi di kampung masing-masing, selain boleh meluangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Pada kempen PRK Kimanis ini, Karim turut memberi penjelasan terhadap beberapa isu yang dimainkan oleh parti pembangkang untuk meraih sokongan pengundi, khususnya berkaitan Pas Sementara Sabah (PSS) dan Lebuhraya Pan Borneo.

Bagi memberi penjelasan dua isu utama itu, Karim tidak berseorangan kerana dibantu pimpinan Warisan diketuai Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang hampir setiap hari turun ke kawasan Kimanis bagi memperjelaskan isu itu serta memberitahu mengenai perancangan kerajaan negeri di kawasan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, rakan sekutu Warisan, Pakatan Harapan (PH) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga turun padang membantu Warisan bagi memastikan wakil rakyat kawasan itu daripada parti kerajaan memerintah.

Komitmen itu bukan sahaja dilakukan pimpinan dan ahli parti bersekutu dengan Warisan di Sabah sahaja, malah pemimpin utama daripada pusat seperti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, turut berada di Kimanis.

Berbalik kepada kempen PRK Kimanis, Warisan dan rakan sekutu turut menumpukan kepada memperbetulkan fakta mengenai perancangan dan dasar diputuskan kerajaan yang diputar-belit oleh parti pembangkang, Barisan Nasional (BN).

Gandingan Warisan-PH-UPKO tidak menggunakan isu peribadi pemimpin BN khususnya UMNO dalam kempen mereka, berbanding pemimpin parti pembangkang itu yang “menyerang” peribadi pemimpin kerajaan termasuk mendakwa Mohd Shafie berasal dari Filipina.

Namun, suasana kempen PRK Kimanis setakat ini berlangsung dalam suasana aman, selari dengan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini, yang mampu duduk bersama biarpun berlainan fahaman politik.

PRK Parlimen Kimanis bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis dan calon BN Datuk Mohamad Alamin, Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

— BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button