Nasional

Kariah bersyukur tidak lagi perlu usung jenazah 3km untuk dikebumi

JIKA sebelum ini penduduk di kariah Masjid Jamek Bagan Belat, di sini terpaksa bergilir-gilir mengusung jenazah ke tanah perkuburan Islam sejauh tiga kilometer, namun mereka kini boleh menarik nafas lega apabila menerima sumbangan van jenazah bagi kegunaan kariah di situ.

Sumbangan van jenazah bernilai RM130,000 daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya itu sememangnya dinanti-nantikan penduduk di kawasan berkenaan.

Pengerusi Kariah Masjid Jamek Bagan Belat, Mohd Masri Abdul Hamid berkata selain ketiadaan van jenazah di kariah itu, penduduk terpaksa mengusung jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Air Tawar yang agak jauh kerana kawasan kubur di belakang masjid kecil dan sudah penuh.

“Saya mewakili kariah masjid mengucapkan terima kasih kepada Datuk Shabudin,” katanya kepada Bernama, di sini.

Sementara itu, Shabudin berkata pihaknya bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab membantu pengurusan masjid malah gembira apabila harapan pengurusan masjid serta kira-kira 3,000 penduduk untuk memiliki van jenazah sudah tercapai.

Beliau berkata pihaknya membelanjakan RM390,000 bagi membeli tiga buah van jenazah untuk disumbangkan kepada tiga buah masjid di kawasan Parlimen itu iaitu Masjid Jamek Bagan Belat, Masjid Merbau Kudung di Sungai Dua dan Masjid Simpang Tiga di Tasek Gelugor.

“Sumbangan van jenazah akan diteruskan pada tahun depan kepada masjid-masjid yang layak menerimanya berdasarkan jarak dan jumlah kariah mereka,” katanya. – BERNAMA

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button