Nasional

Buruh menyamar jadi anggota polis ditahan

SEORANG buruh yang menyamar sebagai anggota polis dan menghantar rakaman video yang menunjukkan sepasang gari untuk menakutkan mangsa telah ditahan polis, semalam.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di tepi jalan di Bertam kira-kira pukul 10 pagi selepas menerima laporan daripada mangsa berhubung insiden tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, tangkapan suspek dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada JSJ Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video tersebut bertujuan untuk menakutkan serta meminta mangsa yang berusia 32 tahun menghormati dia yang kononnya seorang anggota polis.

“Suspek berbuat demikian selepas dia dan mangsa mempunyai masalah berkaitan isu rumah sewa sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rahimi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran yang memperuntukkan penjara tidak lebih dari enam bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihati agar tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai seorang penjawat awam kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah,” katanya.

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button