Nasional

Kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat 35

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah unit kondominium di Jalan Perdana 3/10, Pandan Perdana, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Farouk Eshak berkata polis telah dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan di kondominium itu pada 2.20 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati budak lelaki itu yang merupakan warga asing mengikuti ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan di salah sebuah unit kondominium.

“Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ditinggalkan sendirian oleh ibunya berusia 36 tahun di ruang tamu unit berkenaan. Wanita itu kemudiannya turun ke kedai dobi.

“Kanak-kanak itu dipercayai bangun dari tidur dan membuka pintu gelangsar sebelum memanjat kerusi di balkoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Farouk berkata ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu bekerja di Petaling Jaya dan semakan mendapati ibu bapa mangsa tinggal di negara ini sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat, sambil menambah tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (atas pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada bahaya), tambahnya.

 

(Visited 54 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button