Jenayah

Kanak-kanak lelaki berusia empat bulan koma akibat didera

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat bulan koma di sebuah hospital di sini selepas dipercayai didera di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Buruk Rabu lalu.

Bayi itu dikatakan mengalami kecederaan serius, termasuk pendarahan otak dan patah tengkorak.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis Rabu selepas mendapati anaknya lemah dan kesakitan selepas mengambil kanak-kanak itu dari pusat penjagaan tersebut.

Beliau berkata bapa kanak-kanak itu yang merupakan pegawai perubatan kemudian membawa bayi itu ke hospital untuk pemeriksaan dan keputusan menunjukkan terdapat darah beku di kepala budak itu.

Susulan itu, Rohaimi berkata, polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang merupakan pengasuh di pusat berkenaan.


Mereka ditahan semalam dan polis dijangka mendapat perintah reman hari ini.

Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar dekat yang menunjukkan budak itu digoncang, dipukul di kepala dan ditampar, katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan polis kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Katanya, kanak-kanak itu masih berada di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button