Nasional

Covid-19: Lima kes baharu, empat daripadanya penularan tempatan

LIMA kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan empat daripadanya membabitkan kes penularan tempatan manakala satu lagi kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dengan penambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes di Malaysia kini sebanyak 8,734, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 86 kes.

Katanya lagi, kes import tersebut melibatkan seorang warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Bagi kes penularan dalam negara, satu melibatkan bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak dan pesakit telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

“Tiga lagi kes melibatkan warganegara iaitu satu kes saringan prapembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Manakala dua lagi, masing-masing di Sarawak membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8,732) dan satu kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh BERNAMA.

Dr. Noor Hisham juga berkata, hari ini juga tiada kes kematian direkodkan, dengan jumlah keseluruhan maut akibat wabak itu kekal 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya lagi, dua kes pulih direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,526 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, katanya terdapat lima kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – SM

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button