Kesihatan

“Kami Sedia Bantu Kerajaan!” – Nanostix Tampil Tangani Isu Vape Dadah

Nanostix Innovations Sdn Bhd menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggesa agar langkah konkrit diambil bagi membanteras penyalahgunaan vape mengandungi dadah dalam kalangan remaja.

Sebagai pengeluar peranti rokok elektronik tempatan yang berdaftar dan beroperasi di bawah garis panduan kawal selia kendiri yang ketat, Nanostix berpandangan bahawa kebimbangan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri adalah selari dengan keresahan industri terhadap peningkatan penyalahgunaan peranti vape oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Gejala ini merupakan cabaran baharu yang serius dan tidak boleh dipandang enteng. Nanostix komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan penyalahgunaan ini dapat dibanteras secara menyeluruh,” tegas Pengarah Urusan Nanostix, Shahabudeen Jalil.

Enam Cadangan Tindakan Menyeluruh

Dalam usaha memperkukuh tindakan kerajaan, Nanostix turut mengemukakan enam cadangan utama:

  1. Penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia
    Sebuah badan bersepadu di bawah kerajaan dicadangkan bagi memantau aspek pengilangan, pengedaran, pengawalan produk dan penguatkuasaan, dengan penyertaan agensi berkaitan seperti KKM, KDN, KPDN, Kastam, PDRM dan PBT. Nanostix bersedia memainkan peranan utama dalam majlis ini.
  2. Sekatan Ketat Import Vape Asing
    Nanostix menggesa larangan import sepenuhnya terhadap peranti dan cecair vape dari luar negara, khususnya produk tidak berdaftar yang dikenal pasti sebagai antara punca utama kemasukan bahan terlarang ke dalam pasaran tempatan.
  3. Pengharaman Peranti dan Cecair Vape ‘Open Pod’
    Peranti dan cecair jenis ‘open pod’ yang dijual secara terbuka harus diharamkan kerana mudah dimanipulasi dengan campuran bahan terlarang. Hanya sistem tertutup (close pod) yang berdaftar dan dikawal sepenuhnya wajar dibenarkan berada di pasaran.
  4. Penguatkuasaan Ketat di Sempadan dan Premis
    Pengawasan di pintu masuk negara serta pemantauan berkala ke atas premis jualan perlu diperhebat, dengan peranan yang jelas dari agensi penguat kuasa.
  5. Penjualan Terhad Kepada Produk Sah dan Patuh Etika
    Hanya produk berdaftar yang mematuhi piawaian seperti ujian makmal, semakan umur pembeli dan penggunaan kod keselamatan dibenarkan dijual. Nanostix juga menyarankan pelaksanaan label cukai bagi membezakan produk sah dan tiruan.
  6. Kempen Kesedaran Awam di Sekolah dan IPT
    Program pendidikan dan kesedaran perlu digerakkan secara menyeluruh di sekolah dan institusi pengajian bagi membendung pengaruh awal terhadap penyalahgunaan vape yang dicampur dadah.

Industri Sah Menyumbang Kepada Ekonomi Negara

Nanostix menekankan bahawa industri vape berdaftar dan dikawal selia menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara — melalui pewujudan ribuan peluang pekerjaan, pelaburan dalam teknologi dan kutipan cukai eksais bernilai ratusan juta ringgit sejak pengenalan cukai nikotin.

“Adalah penting untuk membezakan industri yang sah dan dikawal, daripada aktiviti haram yang mencemari imej keseluruhan sektor ini. Dengan sokongan kerajaan dan pendekatan holistik, kita boleh membanteras penyalahgunaan tanpa menjejaskan pertumbuhan industri sah yang menyumbang kepada pembangunan negara,” tambah Shahabudeen.

Nanostix turut menyatakan kesediaannya untuk menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam membentuk penyelesaian jangka panjang yang mengutamakan keselamatan awam, penguatkuasaan berkesan dan kepentingan ekonomi negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button