
“Kami Mahu Jadi Hero di Kampung Halaman Dahulu” – Nasken rancang untuk buka cafe di Timur Tengah
JENAMA makanan dan minuman tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Nasken International Sdn Bhd, terus mengorak langkah dengan pembukaan cawangan ke-43 mereka di Presint 15, Putrajaya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan jenama ini sejak ditubuhkan pada Disember 2019 oleh pengasasnya, Mohd Nazif bin Ab Aziz.

“Pembukaan cawangan ke-43 ini bukan sekadar pencapaian, tetapi simbol kepercayaan masyarakat terhadap jenama tempatan yang berkualiti dan berprinsip,” ujar Mohd Nazif dalam ucapan pelancaran.
Berpegang pada slogan “Bukan Sekadar Kopi”, Nasken tampil bukan hanya sebagai penyedia minuman dan makanan segar, tetapi sebuah jenama gaya hidup yang memupuk ketenangan, kebersamaan dan rasa kekeluargaan dalam setiap cawangan.
Berasal dari Pantai Timur, jenama Nasken mendapat namanya daripada gabungan perkataan “Sakinah” (bermaksud ketenangan) dan nama keluarga pengasas serta negeri asal mereka. Konsep ini dijelmakan dalam suasana kafe yang selesa, menu tradisional moden serta layanan mesra.
Kini, Nasken telah berkembang ke seluruh negara dengan 43 cawangan aktif, dan menyasarkan 43 lagi pembukaan baharu menjelang akhir 2025, termasuk sasaran setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu outlet.
“Kami mahu jadi hero di kampung halaman dahulu, kemudian Malaysia, dan seterusnya ke Timur Tengah,” kata Mohd Nazif penuh yakin.
Nasken kini berada dalam fasa persiapan untuk penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang akhir 2026, sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan modal dan menjangkau pasaran serantau seperti ASEAN dan Timur Tengah.
Sebahagian besar operasi pengeluaran seperti kek dan minuman kini dibuat di kilang sendiri yang telah mendapat pensijilan halal, dengan logistik dalaman dan rangkaian pembekalan yang mantap.
Menu Nasken merangkumi pelbagai pilihan seperti nasi lemak, kek, kopi, dan pastri, semuanya disediakan segar dari dapur tanpa penggunaan bahan beku atau diproses.
Menariknya, sempena pembukaan cawangan Putrajaya ini, Nasken menawarkan promosi potongan 50% bagi menu terpilih di semua cawangan seluruh Malaysia – sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pelanggan setia mereka.