Nasional

Raja Muda Perlis seru rakyat bersama-sama lawan Covid-19

 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat Perlis supaya sentiasa ‘Patuh SOP’ dan ‘Cegah’ penularan COVID-19 melalui kebiasaan baharu bagi sama-sama mengelakkan diri, keluarga tersayang dan komuniti secara keseluruhan daripada jangkitan COVID-19.

Pada masa yang sama, setiap ketua keluarga juga hendaklah memainkan peranan yang lebih serius untuk memantau status kesihatan diri dan keluarga masing-masing.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Hijrah Minda MAIPs Bilangan 21/2020’ yang diadakan di Masjid Al Raudhah Sg Batu Pahat, Kangar pada petang tadi.

Mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Mohd Nazim, program kali ini yang bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat, Cergas dan Bersih’ turut melibatkan pengurniaan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada sepuluh orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan yang disempurnakan sendiri oleh Tuanku Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs.

Sementara itu, Sirajuddin pula menasihatkan agar masyarakat sentiasa mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa. Pastikan setiap ahli keluarga menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, menjaga penjarakan sosial dan segera mendapatkan rawatan jika bergejala.

‘Hadkan kehadiran pelawat ke rumah terutamanya bagi yang tidak dapat dipastikan status kesihatan’.

Beliau juga mengingatkan agar penjagaan khusus hendaklah diberikan kepada ahli keluarga warga emas dan berpenyakit kronik kerana mereka ini boleh mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti COVID-19.

Untuk rekod, lima kes terakhir yang dicatatkan di negeri Perlis adalah melibatkan kes-kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah yang merupakan kawasan ‘Merah’ dan berisiko tinggi.

Turut diadakan sebelum itu ialah ceramah ‘Hijrah Minda’ yang dikongsikan oleh wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri selain promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Rejimen 504 Askar Wataniah.

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button