Politik

“Zahid: Ayah… Hatimu jujur kasihmu luhur”

Oleh Peguam Muda Kampung

Semenjak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Nakhoda UMNO pada tahun 2018 yang lalu, terlalu banyak suara-suara yang mempertikaikan kemampuan beliau. Tidak kurang juga yang melihat beliau sebagai calon yang paling lemah berbanding dua lagi calon Presiden yang bertanding ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin veteran yang sangat dihormati dan Khairy Jamaluddin pemimpin muda yang sangat disukai anak muda.

Apabila kita menonton debat calon-calon Presiden UMNO pada 29 Jun 2018 pun jelas menampakkan beliau agak ketinggalan dari segi bahasa tubuh dan persediaan berbanding Ku Li dan KJ. Tetapi dengan izin Allah SWT, beliau telah ditabalkan sebagai Presiden UMNO ke-8 dalam pertandingan mahabbah yang agak sengit yang juga pertama kali di adakan selepas UMNO didaftarkan semula pada tahun 1986.

BACA JUGA: Zahid Hamidi: Dari Budak Kampung Ke Putrajaya…

Situasi yang dialami oleh Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO ke-8 seumpama seorang AYAH kepada sebuah keluarga besar yang punya ramai anak pelbagai karenah dan perangai.

1. Ada yang mengatakan beliau seorang yang kedekut dan berkira di waktu ada ayah lain yang punya kemampuan kewangan dan pemurah pula.

2. Ada yang mengatakan beliau seorang ayah yang lemah dan tidak upaya ketika ada ayah lain yang hebat dan kuat.

3. Ada yang mengatakan beliau terlalu kekampungan dan orang lama ketika ada ayah lain yang lebih moden dan diterima oleh anak muda.

4. Ada yang mengatakan beliau tidak mampu menjadi pemimpin utama kerana bahasa Inggerisnya yang ke laut dan pada masa yang sama ramai lagi ayah-ayah yang fasih berbahasa ibunda kota London itu.

5. Ada yang mengatakan beliau ini dahulunya seorang yang angkuh apabila berkata sewaktu memegang jawatan TPM ditambah kini ada ayah lain yang sangat disukai oleh rakyat bila berucap dengan bahasa mudah dan disenangi.

6. Ada yang mengatakan beliau seorang Presiden yang tidak tegas sehingga ada ahli yang dengan senang dan mudah membelakangkan prinsip dan perjuangan parti.

7. Ada yang mengatakan beliau seorang Presiden yang tak dihormati, hanya duduk di atas bangku tanpa boleh melakukan apa-apa ditaktala negara ini dipimpin oleh seorang Abah yang disayangi.

8. Ditambah pula cerita-cerita negatif berkaitan keluarga sendiri yang kerap kali mencalar imej beliau sebagai Ayah dan Presiden parti walaupun hakikatnya kebanyakan cerita adalah fitnah semata-mata.

Tetapi sedarkah kita, apa yang berlaku bukan kehendak beliau dan bukan atas kerelaan beliau sepenuh hati. Beliau Presiden pertama UMNO yang menjadi pembangkang selama 22 bulan. Beliau adalah Presiden di waktu duit UMNO dibekukan dan menghalang UMNO dari beroperasi sebagaimana biasa. Beliau juga Presiden parti pertama yang dituduh di mahkamah dengan 87 tuduhan yang sengaja dibuat oleh rejim PH dengan niat untuk memalukan dirinya dan melemahkan UMNO. Tambahan, beliau adalah Presiden pertama parti yang tidak punya jawatan dalam kerajaan ditaktala kini parti bukan lagi pembangkang….Dan yang paling penting, beliau bukan Perdana Menteri Malaysia sebagaimana Presiden-Presiden UMNO yang terdahulu.

Keadaan-keadaan ini bukan kehendak beliau, tetapi ianya adalah suratan takdir kepada beliau selaku hamba Allah yang penuh kelemahan. Beliau diuji dengan seberat-berat ujian yang tidak pernah dihadapi oleh Presiden-Presiden UMNO sebelum ini. Tetapi, beliau tidak pernah melarikan diri dari menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab kepada keluarga besar ini.

Seburuk mana pun seorang ayah pada pandangan kita, selemah manapun seorang ayah pada sangkaan kita, semiskin manapun seorang ayah pada fikiran kita, hakikatnya selagi kita adalah anak kandung kepada seorang ayah, selagi kita ahli UMNO yang bernakhoda seorang Presiden, selagi itulah dia akan terus menjaga, mengangkat, mempertahan dan menyayangi kita ahli UMNO tidak kira masa dan ketika.

Percayalah, Allah tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu tanggungjawab melainkan hamba itu memang berkemampuan memikulnya.

Luahan hati ini bukan nak memuji jauh sekali mendewa-dewakan Zahid Hamidi, kerana saya sedar beliau juga insan biasa yang banyak kelemahan dan tidak terlepas dari melakukan dosa. Tetapi saya menulis kerana saya faham perasaan seorang ayah bila anak kandung sendiri membandingkan diri ini dengan ayah lain yang lebih kaya, hebat dan berjawatan tinggi. Kecil hati dan kecewa pasti ada, kerana itu lumrah manusia, tetapi perjuangan membela keluarga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak akan kekal selama-lamanya.

Hargailah, hormatilah dan sayangilah Ayah kita sementara jasadnya masih ada di depan mata.

Selamat hari Ayah buat semua. Ikhlas dari Ahli UMNO yang setia. – SM

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button