Nasional

Pendidikan di sekolah, rumah harus selari, titah Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa zaman yang dilalui anak-anak hari ini jauh berbeza daripada zaman yang telah ibu bapa mereka lalui.

Cabaran dan gaya hidup seorang anak telah mengalami perubahan sehingga menjadi semakin sukar dan kompleks seiring kemajuan sains dan teknologi.

Ironinya, dalam usaha mendidik anak-anak ini memerlukan komitmen semua pihak yang mesti memainkan peranan positif ke arah membentuk jiwa remaja yang cemerlang di dunia dan juga akhirat.

Dewasa ini, pelbagai berita diutarakan berkaitan perilaku remaja di sekolah khususnya di peringkat menengah, tidak kira sekolah berasrama penuh mahupun harian, seperti buli, pergaduhan, samseng, merokok sehinggakan penagihan najis dadah.

Kajian mendapati kebanyakannya berpunca daripada masalah di rumah. Justeru, adalah diharapkan agar pendidikan di rumah dan di sekolah haruslah selari dan seimbang dan sentiasa diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis kepada pengurusan Masjid As Sobirin Kampung Gial Mata Ayer bagi menjayakan inisiatif “Masjid Dalam Taman” yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Kali ke 70 bagi tahun 2020’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah bahawa menurut perspektif pakar psikologi Barat, antara punca utama keruntuhan moral disebabkan kurang ‘daya penyesuaian’ remaja dalam menangani cabaran dan dugaan. Antara elemen kelemahan menyesuaikan diri ini dikaitkan dengan ‘pengalaman’ remaja sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Sebagai contoh, Alfred Denning memberi pandangan bahawa kebanyakan remaja yang terbabit berasal daripada keluarga yang ‘retak’.

Selain menyerahkan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut, baginda turut juga berkenan meluangkan masa singgah melawat Palbeef Enterprise milik Zulkiifli Saad yang menjual lembu dan kambing di Kg Kubang Perun Chuping dan syarikat Baldatun Toyyibah yang mengusahakan perniagaan cendawan oleh Nor Wahidayu Ali di Kg Paya Burma Kok Klang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Awang Shafie Awang Ahmad yang hadir mengiringi Tuanku Raja Muda turut memaklumkan bahawa antara pokok-pokok herba yang disumbangkan ialah ‘Jari Merpati’ untuk barah, ‘Belimbing tanah’ untuk 7 jenis penyakit, ‘Derhaka Mertua’ sebagai perancang keluarga dan sistem darah, ‘Lidah Ayam’ untuk bisul dan sakit sendi, ‘Tapak Kucing’ sebagai ubat penyakit kulit panau, ‘Melor’ ubat demam panas, kayap dan campuran mandi bunga serta ‘Jeram Batu’ untuk migrain.

Dalam perkembangan yang lain, Masjid As Sobirin Kampung Gial yang terpilih mewakili negeri Perlis dalam pemilihan ‘Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) 2020’ oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini meraikan ‘Majlis Menyantuni Anak-Anak Yatim 2020’ di masjid berkenaan pada malam semalam.

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button