Agama

Ajaran Si Hulk diwartakan menyeleweng dan bertentangan dengan akidah sejak 2021

Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh teliti, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah membuat keputusan sebagaimana berikut :
1. Bahawa fahaman dan ajaran yang diasaskan dan dibawa oleh Suhaini Bin Mohammad atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk atau apa jua nama atau gelaran yang dikaitkan dengan Suhaini Bin Mohammad adalah ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam. Antara fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad yang bertentangan dengan akidah, syariah dan Islam ialah :
i. Mendakwa Nabi Muhammad Salla Allahu Alaihi Wasallam itulah tuhan. (Petikan kata-kata beliau dalam youtube bertajuk : Sesat Atau Benar bertarikh 4 April 2020).
ii. Menyatakan rahsia tuhan bahagian 5 : “Saya berpendapat bahawa : Nabi Muhammad Salla Allahu Alaihi Wasallam adalah Esa, bersalahan dengan makhluk. Baginda tidak beranak dan tidak diperanakkan, Nabi Muhammad Sallawahu Alaihi Wasallam adalah induk (ummi) dan semua makhluk adalah cahaya (nur) baginda yang diseru Allah kepada baginda”. (Sumber : Status facebook yang dimuat naik melalui facebook Suhai Ibni Mohammad).
iii. Nabi Muhammad Salla Allahu Alaihi Wasallam tidak mempunyai jantina. (Sumber : Status facebook yang dimuat naik beliau pada tahun 2018).
iv. Kelazatan melihat wajah Allah (wajah Rasulullah) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi Salla Allahu Alaihi Wasallam yang dikandungkan oleh Saidatina Khadijah Radiallahu Anha. (Sumber : Status facebook yang dimuat naik beliau pada tahun 2018).
v. Membuat kenyataan terhadap hadis di bawah dengan menyatakan bahawa Nabi tiada kemaluan. Berdasarkan hadis Nabi Salla Allahu Alaihi Wasallam:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ: «مِنْ كَرَامَتِي
 عَلَى رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ أَنِّي وُلِدْتُ مَخْتُونًا , وَلَمْ يَرَ أَحَدٌ سَوْأَتِي»
Kata Suhaini Mohammad “telah terpotong bukan baru potong. Maknanya dari awal lagi dah bukan ada baru potong…tak. Atau pun dulu ada lepas tu kena potong…bukan. Sejak azali lagi dah kena…dah tak dak. dan sekoq pun tak nampak…dah tak dak memang tak nampaklah”. (Sumber : Petikan daripada Youtube Transformation Academy ucapan Suhaini Bin Mohammad bertajuk Nabi Tiada Kemaluan minit 2:11 hingga 2:26).
vi. Membuat tafsiran yang menyeleweng pada ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 35 dan surah Taha ayat 120 iaitu ayat yang melarang Nabi Adam dan isterinya memakan buah larangan. Kata Suhaini Mohammad : “Adam makan buah Hawa melalui mulut atas lalu jadilah halkum, manakala Hawa makan buah Nabi Adam melalui mulut bawah lalu jadilah ovari yang akibatnya menyebabkan wanita datang haid setiap bulan”. (Sumber : Petikan daripada Youtube Transformation Academy ucapan Suhaini Bin Mohammad bertajuk Sesat Atau Benar minit 7:35 hingga 9:30).
vii. Mereka-reka hadis yang didakwa sebagai hadis Qudsi yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad Salla Allahu Alaihi Wasallam itu Esa. (Sumber : Petikan daripada Youtube Transformation Academy ucapan Suhaini Bin Mohammad bertajuk Ahmad Tanpa Mim : saat 0.32 hingga minit 1:02).
viii. Menyatakan bahawa Nabi Muhammad Salla Allahu Alaihi Wasallam tiada kemaluan dan menyatakan bahawa peristiwa Saidina Ali melihat baginda tidak mempunyai kemaluan menyebabkan Saidina Ali mendapat gelaran Karamallahu Wajhah. (Sumber : Petikan daripada Youtube Transformation Academy ucapan Suhaini Bin Mohammad bertajuk Saidina Ali Melihat Keesaan Nabi).
ix. Membuat penipuan terhadap produk-produk yang dikeluarkan seperti air dan botol Si Hulk untuk menarik minat orang membelinya seperti :
a. Membuat dakwaan yang tidak berasas dan membuat tafsiran yang salah terhadap ayat al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 248 dengan menyatakan bahawa kotak Si Hulklah peti tabut yang menjadi rebutan. (Sumber : Status facebook Si Hulk).
b. Si Hulk merupakan air hayat iaitu air yang diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat.
c. Botol Si Hulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol.
2. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad sebagaimana yang dinyatakan adalah diharamkan dan dilarang. Larangan ini meliputi :
i. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad sama ada dengan menjadi pengikut, ahli kumpulan, berada di dalam majlis atau acara yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad;
ii. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, belajar, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad adalah melakukan kesalahan;
iii. Apa-apa jua bahan hebahan dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman Suhaini Bin Mohammad dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, instagram, facebook, twitter atau media sosial lain adalah ditegah untuk disebarkan dan dilayari atau diikuti;
iv. Mana-mana orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio atau visual, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa dokumen yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad;
v. Mana-mana orang Islam adalah dilarang dan ditegah daripada mengamal, menyebar, dan mengembangkan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad di Negeri Johor Darul Ta’zim; dan
vi. Mana-mana orang Islam adalah dilarang mempercayai, memiliki atau menyimpan produk-produk yang didakwa mempunyai kelebihan dan khasiat tertentu yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.
3. Justeru, fahaman dan ajaran yang dibawa oleh Suhaini Bin Mohammad ini hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Negeri Johor Darul Ta’zim.
4. Mana-mana orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran yang dibawa oleh Suhaini Bin Mohammad ini dan dilarang berpegang, mempercayai, menyebarkan dan mengamalkan ajaran ini dan mana-mana orang Islam yang telah terlibat dengan ajaran Suhaini Bin Mohammad ini hendaklah bertaubat.
(Visited 435 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button