Jenayah

Majikan pukul pekerja puasa mohon maaf pada umat Islam, Agong

MAJIKAN yang didakwa membelasah dua pengawal peribadinya kerana berpuasa pada bulan Ramadan berkata, dia tidak berniat untuk menghina sesaiap.

Serentak itu, lelaki berusia 43 tahun itu meminta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong atas insiden yang berlaku.

“Sekiranya apa yang saya katakan kepada pengawal peribadi saya menyinggung perasaan sesiapa, saya rasa saya harus minta maaf kepada semua umat Islam di negara ini, kepada Yang di-Pertuan Agong dan dua bekas pengawal peribadi saya.

“Bagaimanapun saya tidak bermaksud menghina sesiapa dengan apa yang saya katakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diiringi dan diapit oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Permohonan maaf lelaki itu yang diucapkan dalam bahasa Mandarin telah diterbitkan oleh The Star.

Negara sebelum ini dikejutkan dengan laporan polis oleh salah seorang pekerja terbabit yang mendakwa telah dipukul dan disebat kerana berpuasa.

Lelaki yang juga majikan kepada dua pengawal peribadi sanggup memukul dan mengacukan sepucuk pistol ke arah mereka.

Pada 17 April lalu polis telah menahan lima individu termasuk majikan kerana disyaki memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa, dipercayai terlibat dalam aktiviti ah long dan judi online.

Pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.

Hasil penangkapan tersebut turut membawa kepada penemuan 100 kg jongkong emas dan 12,500 not kertas US$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324, 298, dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.-SM

 

(Visited 929 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button