Nasional

Kakitangan Parlimen meninggal dunia akibat COVID-19

Seorang kakitangan Parlimen yang lengkap vaksin meninggal dunia ketika dalam rawatan di di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam selepas dikesan positif COVID-19 sejak 8 November lalu

Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr Param Jeet Singh Pakar Singh, berkata mangsa berusia 54 tahun telah mendapat vaksinasi lengkap pada 11 Julai lalu.

“Mangsa mula mengalami gejala demam dan batuk pada 3 November lalu dan sudah melakukan ujian saringan COVID-19 RT-PCR pada 8 November lalu.

“Bilik Gerakan COVID-19 Pejabat Kesihatan Lembah Pantai menghubungi beliau pada hari yang sama untuk siasatan dan mendapati status COVID-19 kes adalah Kategori 2a.

“Kes diarahkan untuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan tidak diketahui mempunyai sebarang penyakit kronik sebelum ini.

Dr Param Jeet berkata, pada 9 November lalu mangsa hadir ke CAC yang terletak di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar serta memaklumkan mengalami sesak nafas.

“Penilaian klinikal ketika itu menunjukkan status COVID-19 adalah kategori 4 dan beliau dengan segera dirujuk ke HKL sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pergerakan mangsa hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja serta tidak terbabit dengan perjumpaan bersama ahli Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum bergejala.

Mangsa juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November 2021.

Jelasnya, seramai empat kontak rapat iaitu masing-masing dua di rumah dan tempat kerja dikenal pasti serta kesemuanya sudah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti.

“Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kes mendapat jangkitan. Jabatan ini bersimpati dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.-SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button