Jenayah

Kakitangan kerajaan rugi RM25,000 ditipu Macau

KOTA BARU: Seorang kakitangan kerajaan kerugian kira-kira RM25,000 apabila ditipu anggota sindiket penipuan Macau yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa unit farmasi kementerian kesihatan dan seorang anggota polis.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata kejadian itu berlaku pada 23 Jan, manakala polis menerima laporan tiga hari kemudian (26 Jan).

Dalam laporan itu, beliau berkata mangsa berusia 40-an mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya penguat kuasa kementerian kesihatan pada 23 Jan lepas.

“Suspek mendakwa dia merupakan pegawai Unit Penguatkuasaan Farmasi Kebangsaan di Petaling Jaya, Selangor dan bertanyakan kesan sampingan kepada mangsa selepas mendapat dos penggalak Covid-19.

“Pemanggil memberitahu mangsa berdasarkan rekod unit, mangsa telah mengambil lapan jenis ubat dari sebuah klinik di Ipoh, Perak sejak November tahun lalu.

“Mangsa menafikan dia mendapatkan ubat itu dan untuk itu, suspek mencadangkan dia membuat laporan polis kerana pengenalan diri mungkin telah dicuri seseorang.

“Perbualan itu kemudiannya diteruskan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dari ibu pejabat polis Perak,” kata Shafien.

Beliau berkata, mimpi ngeri mangsa bermula apabila ‘pegawai polis’ memberitahu dia dan seorang lagi lelaki dikehendaki kerana melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM2.1 juta.

“Mangsa diminta membayar RM25,000 untuk ‘dibebaskan dengan jaminan polis’.

“Dia kemudian bersetuju dengan pembayaran itu dan membuat dua transaksi berasingan untuk jumlah itu ke beberapa akaun bank milik individu berbeza.

“Dia menyedari ditipu selepas mendedahkan perkara itu kepada adik-beradiknya.

“Dia kemudian membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata Shafien.

 

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button