MahkamahNasional

Kakak baling adik dengan pisau didakwa sebabkan kematian tanpa niat

SEORANG remaja perempuan didakwa di Mahkamah Majistret Kanak-kanak Johor Bahru atas tuduhan menyebabkan kematian adik lelakinya tanpa niat dalam kejadian minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja terbabit didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang mana dia menyedari perbuatannya boleh menyebabkan kematian di rumah mereka di Johor Bahru, pada pukul 1.50 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang menjalankan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi tertuduh.

Bagaimanapun, barisan pembelaan terdiri daripada peguam Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

“Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri,” kata mereka seperti dilaporkan Harian Metro.

“Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” ujarnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah sebulan sekali.

Ikat jamin dibayar oleh bapa tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Disember ini.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ulu Pulai itu, mangsa terbunuh selepas kakaknya membaling pisau pemotong sayur ke arahnya akibat perselisihan faham.

Remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia kerana hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama di bahagian kanan lehernya, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak. – SM

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button