Nasional

Kaji kaedah tarik anggota PALAPES, Askar Wataniah tidak aktif kembali berkhidmat – Raja Muda Perlis

Islamabad, Pakistan.

Kajian dan pencarian jalan yang terbaik harus diusahakan bagi menarik kembali minat anggota Askar Wataniah yang tidak lagi aktif khususnya dari kalangan para pegawai tauliahan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Tentera Darat Malaysia untuk kembali berkhidmat untuk negara.

Antara faktor utama yang harus diberi perhatian ialah anggota Askar Wataniah terutama yang berkhidmat dalam sektor swasta mempunyai kekangan masa untuk menghadiri Latihan Kem Tahunan (LKT) yang dijalankan selama dua minggu atau 14 hari setiap tahun. Kadangkala juga ada di antara mereka sukar untuk mendapatkan pelepasan dari pihak majikan.

Seperkara lagi yang harus dilihat ialah sikap acuh tak acuh segelintir anggota yang menunggu saat-saat akhir tarikh Tamat Tempoh Perkhidmatan (TTP) juga merupakan antara salah satu penyebab kepada kesukaran dan kesulitan bagi menyambung semula perkhidmatan dalam Angkatan Sukarela dan ini sudah pasti Pasukan tidak dapat menyokong untuk proses sambungan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’
ke National Defence University (NDU) of Pakistan di Islamabad baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden NDU, Leftenan Jeneral Muhammad Saeed dan timbalan beliau, Laksmana Pertama (Rear Admiral) Naved Ashraf.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat diiringi sama oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohamad Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

BACA:Penuntut universiti awam disaran sertai PALAPES – Raja Muda Perlis

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, kajian menyeluruh juga harus dilaksanakan berkaitan penglibatan semula anggota yang tamat tempoh untuk aktif semula. Mungkin melalui Persatuan Alumni PALAPES UA masing-masing, data boleh diperolehi dan sumber berapa peratus yang berminat untuk aktif semula jika pihak berkuasa membuka laluan kembali bagi mereka berkhidmat dalam pasukan sukarela.

Pada masa yang sama latihan yang dianjurkan di setiap Kem Rejimen Siri 500 perlu dikaji dan diselaraskan supaya ia relevan dengan situasi masa kini selaras dengan keperluan teknologi yang mencabar serta perubahan minat anak muda agar mereka akan terus aktif dan menarik minat untuk melapor.

Untuk rekod, sembilan buah UA terdiri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil bahagian dalam lawatan bagi mempertingkatkan lagi pengetahuan para peserta supaya dapat memperkukuhkan lagi aktiviti PALAPES di universiti masing-masing dalam konteks Dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) negara.

BACA:Pegawai PALAPES harus sentiasa bersedia pertahan kedaulatan negara – Raja Muda Perlis

(Visited 1,094 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button